Kajian semula pemberian khas Sabah, Sarawak dimuktamad segera 

PETALING JAYA: Kerajaan akan memuktamadkan segera gesaan segelintir pihak supaya mempercepat proses semakan semula pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak melalui geran tahunan yang selama ini tidak dilakukan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini termasuk perkara-perkara yang masih belum dilaksana kerajaan seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

Katanya, perkara itu akan diputuskan selepas mengadakan pertemuan dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor yang dijangka akhir bulan ini di Kuching, Sarawak.

“Untuk memastikan pelaksanaan yang lebih berkesan, jawatan kuasa teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diterus dan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri. 

“Diharap segala perkara yang tertangguh dapat dilaksanakan dengan baik. Ini termasuk peruntukan khas kepada Sabah dan Sarawak. Oleh itu, kita harus pastikan ada peningkatan jumlah yang munasabah,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet hari ini. 

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis dari Parti Warisan (Warisan) menggesa supaya kerajaan mempercepat proses semakan semula pemberian khas kepada Sabah melalui geran tahunan supaya selari dengan formula 40 peratus hasil negeri yang dikutip kerajaan Persekutuan. 

Di dalam Bahagian IV Jadual Ke-10 Perlembagaan, Sabah berhak menerima Pemberian Khas bersamaan dua perlima atau 40 peratus daripada hasil bersih negeri dikutip Kerajaan Persekutuan.

Pun begitu, hingga kini, Sabah tidaklah mendapat 40 peratus hasil bersih negeri, namun digantikan dengan pemberian khas lain dalam tempoh setiap lima tahun, menyaksikan jumlahnya masing-masing RM20 juta (1969), RM21.5 juta (1970), RM23.1 juta (1971), RM24.8 juta (1972) dan RM26.7 juta (1973).

Semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Kabinet menaikkan amaun pemberian khas baharu untuk Sabah sebanyak 4.7 kali ganda daripada RM26.7 (sejak tahun 1973) kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022, dan amaun itu akan terus meningkat setiap tahun bagi tempoh 2023-2026 mengikut kadar kenaikan dipersetujui secara bersama.  

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jika bayaran pemberian khas baharu itu telah diselesaikan ketika Anwar pula menyatakan bahawa ‘semakan atau kajian semula berkenaan pemberian khas akan dimuktamadkan segera’.

Perkara 112D (3) Perlembagaan menyatakan, perintah untuk melakukan kajian semula mengenai pemberian khas hendaklah terus berkuat kuasa selepas berakhir tahun 1973 (semakan pertama dijalankan) melainkan digantikan dengan suatu perintah yang baharu selepasnya. 

Perkara 112C Perlembagaan menyatakan, tertakluk kepada Perkara 112D dan apa-apa batasan dalam seksyen di dalam Jadual Ke-10, Persekutuan hendaklah membuat (bayaran hasil negeri) kepada Negeri Sabah dan Sarawak dengan setiap tahun kewangan pemberian dinyatakan. 

Perkara 112D (1) Perlembagaan pula menyatakan, sebarang pemberian gantian atau tambahan hendaklah dikaji semula oleh Kerajaan Persekutuan dan Sabah dalam tempoh lima tahun bermula 1969 hingga 1974 dan selepasnya, namun, hendaklah mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan serta keperluan Negeri. 

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, kerajaan bersetuju meluluskan peruntukan tambahan bagi pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo. 

“Projek utama seperti Pan Borneo, kemajuannya lebih baik di Sarawak, tetapi banyak tertangguh di Sabah. Oleh itu, kerajaan bersetuju meluluskan peruntukan tambahan dan Menteri Kerja Raya akan memberi penjelasan terperinci,” katanya. – UTUSAN

 

The post Kajian semula pemberian khas Sabah, Sarawak dimuktamad segera  appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*