Kanak-kanak lelaki maut, 12 cedera kemalangan lima kenderaan

KOTA TINGGI: Seorang kanak-kanak maut, manakala 12 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 57.2, Lebuhraya Senai-Desaru berhampiran Bandar Penawar semalam.

Komander Operasi Balai Bomba  dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Penolong Kanan Penguasa Bomba Masri Ibrahim berkata, ketika kejadian kanak-kanak lelaki berusia dua tahun itu difahamkan menaiki Proton Persona bersama ibu bapanya. 

Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.01 petang sebelum menghantar dua buah jentera dari BBP Penawar dan BBP Pasir Gudang dengan kekuatan keseluruhan 14 anggota ke tempat kejadian. 

“Kemalangan itu melibatkan lima buah kenderaan, Proton Persona, Honda CRZ, Perodua Myvi, Perodua Bezza dan Honda Insight yang melibatkan 13 mangsa. 

“Terdapat seorang mangsa tersepit di dalam

kenderaan Proton Persona, manakala mangsa yang lain telah keluar sendiri. Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.

“Kesemua mangsa telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan dan mayat mangsa yang meninggal dunia  diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini. 

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Menurutnya, kemalangan tersebut disyaki berpunca akibat tindakan sebuah kereta yang memotong kenderaan lain, tetapi tidak lepas.

“Akibatnya, berlaku perlanggaran antara kenderaan yang lain dari arah bertentangan. Seorang mangsa kanak-kanak lelaki telah maut dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat, manakala mangsa cedera turut menerima rawatan,” katanya. – UTUSAN

The post Kanak-kanak lelaki maut, 12 cedera kemalangan lima kenderaan appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*