Karnival Kerjaya MyFutureJobs & Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah 2023 Teruskan Kembara Ke Perak, Tawar Lebih 5,000 Peluang Pekerjaan

PERAK – Karnival Kerjaya MYFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah 2023 akan membuka tirainya pada Sabtu, 25 Februari di Perak setelah merekodkan sambutan yang menggalakkan di Kuala Lumpur.

Program yang akan diadakan pada 25 dan 26 Februari 2023 di Batu Gajah, Perak ini merupakan sebahagian daripada siri jelajah yang bermula dengan Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah & Karnival Kerjaya MYFutureJobs di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 11 dan 12 Februari lalu.

Menteri Sumber Manusia, Tuan V.Sivakumar akan merasmikan karnival yang bakal berlangsung di Silverlakes Village Outlet, Batu Gajah. Kali ini, lebih 5,000 peluang pekerjaan ditawarkan oleh 25 majikan yang mengambil bahagian.

Antara majikan tersebut adalah Perak Community Specialist Hospital, Mydin Mohammed Holdings Berhad, Maybank Berhad, Samsung Electronics (M) Sdn Bhd, 99 Speedmart Sdn Bhd, Genting Malaysia Berhad, McDonald’s Malaysia, 7-Eleven Malaysia Sdn Bhd, Flextronics Technology (Penang) Sdn Bhd dan AEON Co. (M) Berhad.

PERKESO bekerjasama dengan Majlis Daerah Batu Gajah dan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) bagi menjayakan karnival dua hari ini. Perkhidmatan yang disediakan PERKESO termasuk pendaftaran di Portal MYFutureJobs, bantuan penyediaan resume serta khidmat nasihat dan bimbingan kerjaya daripada Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO.

Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs, yang merupakan tonggak kepada perkhidmatan pekerjaan PERKESO, sehingga kini telah membantu 776,742 orang pencari kerja memperoleh pekerjaan.

Sementara itu, sejajar dengan matlamat untuk membangunkan jaringan keselamatan sosial yang komprehensif dan inklusif di Malaysia, Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) telah dilaksanakan PERKESO pada 1 Disember 2022. Skim ini menyediakan perlindungan sosial kepada golongan suri rumah terhadap bencana domestik dan keilatan sewaktu melakukan urusan rumah tangga.

Bagi memastikan suri rumah di Malaysia dilindungi SKSSR, PERKESO akan memperhebatkan kempen penerangan dan promosi skim ini kepada semua rakyat Malaysia. Di sepanjang program dua hari ini, satu booth pameran SKSSR akan disediakan untuk memberi penerangan kepada pengunjung dan membolehkan golongan suri rumah membuat pendaftaran dan mencarum di bawah SKSSR. Sehingga 20 Februari 2023, seramai 142,079 orang suri rumah telah mencarum dengan SKSSR.

PERKESO menjemput orang ramai berkunjung ke acara ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang manfaat perlindungan SKSSR. Pencari kerja yang berminat untuk menghadiri sesi temu duga terbuka pula digalakkan untuk mendaftar di www.myfuturejobs.gov.my/career sebelum menghadiri karnival.

Bagi majikan yang berminat untuk menyertai karnival kerjaya akan datang, sila hubungi Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO di 03-8091 5300. Untuk sebarang maklumat lanjut, sila layari laman sesawang PERKESO www.perkeso.gov.my atau hubungi talian khidmat pelanggan PERKESO 1-300-22-8000.

The post Karnival Kerjaya MyFutureJobs & Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah 2023 Teruskan Kembara Ke Perak, Tawar Lebih 5,000 Peluang Pekerjaan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*