Kawat bantu pengamal media terjejas banjir

KUALA TERENGGANU : Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat) menyampaikan bantuan wang tunai kepada 13 pengamal media yang terjejas banjir di negeri ini, baru-baru ini.

Pemangku Presiden Kawat, Mohd. Ishak Abdillah Ngah berkata, jumlah pengamal media yang menjadi mangsa banjir kali ini paling ramai berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Menurutnya, selain sumbangan daripada Kawat, pihaknya turut membuka tabung derma kilat daripada rakan-rakan pengamal media yang lain di Terengganu bagi meringankan beban kewangan mangsa.

“Alhamdulillah, nasib pengamal media yang terjejas banjir itu turut mendapat keprihatinan daripada kelab-kelab wartawan di seluruh negara yang sama-sama memberi sumbangan.

“Kawat juga menerima sumbangan daripada Kelab Media Elit Kedah (KMEK), Kelab Media Johor (KMJ), Kelab Media Kuala Lumpur dan Selangor (KLS) serta Kelab Media Putrajaya (KMP) yang bersimpati dengan dugaan yang menimpa.

“Selain itu, Kelab Aktivis Media Inspirasi turut memberi bantuan bakul makanan kepada pengamal media yang terjejas banjir di Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan kepada pengamal media yang terjejas banjir di Primula Beach Hotel, di sini, semalam.

Penyerahan bantuan itu diadakan serentak dengan majlis penghargaan untuk media tahun 2022 anjuran Primula Beach Hotel.

Turut hadir, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Pengurus Besar hotel tersebut, Suaibah Harun.

Wartawan sambilan Utusan Malaysia, Tengku Danish Bahri Tengku Yusoff berkata, dia kali pertama berdepan bencana tersebut selepas dua tahun tinggal di Kampung Tok Jering di sini.

“Dalam kejadian banjir itu, rumah saya dimasuki air sedalam 15 sentimeter selama tiga hari bermula 20 Disember lalu.

“Walaupun banyak barang yang rosak, saya bersyukur kerana tidak seteruk menimpa mangsa banjir lain dan ada rumah mereka dihanyutkan arus deras,” katanya. – UTUSAN

The post Kawat bantu pengamal media terjejas banjir appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*