Kayuhan MAIPs agih RM1.88 juta babitkan 2,679 penerima tahun lalu

KANGAR: Sebanyak RM1.88 juta disalurkan menerusi program amal iaitu Program Kayuhan Berbasikal Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sepanjang tahun lalu.

Penyerahan semua sumbangan itu disampaikan sendiri oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang menyertai program kayuhan berkenaan.

Sepanjang 2022, sebanyak 83 program kayuhan MAIPs berlangsung dengan sumbangan sama ada kayuhan terus dari rumah ke rumah penerima atau diwakilkan kepada amil setiap kariah.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor berkata, 81 daripada program kayuhan itu dilaksanakan di seluruh negeri ini dengan jumlah bernilai RM1.87 juta dan disalurkan kepada 2,673 penerima.

“Manakala dua lagi program kayuhan itu dilaksanakan di Phuket, Thailand sempena Program Ziarah Mahabbah MAIPs dan di Slim River, Perak bersama Felda Global Ventures (FGV) berjumlah RM4,200 melibatkan seramai enam orang penerima,” katanya selepas mengiringi Tuanku Syed Faizuddin ke program penutup tirai kalendar kayuhan MAIPs Peduli Bagi Tahun 2022 di sini.

Dalam program itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyantuni tiga asnaf terpilih iaitu Abdul Rashid Ismail, 74, Ku Lah Ku Desa, 65, dan Zulkefli Dar, 58.

Di samping itu, baginda turut merasmikan Projek Peningkatan Sosio-Ekonomi Asnaf MAIPs membabitkan sebuah kedai makan ‘Warung Celah Pokok’ di Kampung Titi Berapa Simpang Empat yang diusahakan oleh Mohd Darishadizam Mohd Radzi, 29. 

MAIPs melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) menyumbangkan RM4,666 kepada Darishadizam sebelum ini untuk membeli peralatan berniaga seperti mesin ais kacang,dapur goreng ayam dan dapur memasak air.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin turut menzahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada semua penyumbang zakat melalui MAIPs.

Malah, baginda turut menghargai bantuan semua warga kerja MAIPs, ketua-ketua jabatan, agensi, organisasi dan juga individu-individu yang menjayakan program amal itu sejak ia mula dilaksanakan beberapa tahun lalu. –UTUSAN

The post Kayuhan MAIPs agih RM1.88 juta babitkan 2,679 penerima tahun lalu appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*