
Kuantan: Bekas pemain kebangsaan, Azamuddin Akil berpandangan hanya keajaiban yang akan membantu Sri Pahang FC menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final Piala Malaysia, malam esok.
Azamuddin yang juga bekas pemain Pahang berkata, ini kerana skuad Harimau Selatan dilihat memiliki barisan yang cukup lengkap berdasarkan pemain berkualiti dan berpengalaman yang dimiliki.
“Namun, pemain Sri Pahang tidak boleh melihat kepada status JDT yang diakui pasukan terbaik di negara ini yang juga juara bertahan Piala Malaysia dan dinobatkan juara Liga Super musim 2024/2025.
“Sebaliknya, pemain Tok Gajah perlu mempamerkan semangat juang tinggi dan membentuk gandingan mantap untuk memberi tentangan kepada Harimau Selatan yang pasti mahu mempertahankan kejuaraan.
“Saya harap dengan pencapaian terbaik dalam tiga perlawanan terakhir Liga Super mampu memberi suntikan semangat buat pemain untuk beroleh kejayaan,” kata Azamuddin yang juga bekas pemain Pahang.
Mengulas ketiadaan dua tonggak utama iaitu Kpah Sherman dan Manuel Hidalgo, Azamuddin atau lebih mesra dengan panggilan Alex mahu anak buah Fandi Ahmad mengekalkan momentum dalam tiga perlawanan terakhir Liga Super.
sumber: HM
Katanya, tanpa dua pemain import itu pemain sedia ada mampu menggalas cabaran untuk memastikan tentangan mampu dilakukan pemain Tok Gajah.
“Ketepikan kelebihan yang ada pada JDT, sebaliknya fokus sepanjang perlawanan untuk memberikan yang terbaik buat Sri Pahang,” katanya.