Kebakaran Wisma Jakel: Unit K9 Akan Digerak Esok

SHAH ALAM, 1 Jan (Bernama) — Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor akan menggerakkan Unit Anjing Pengesan (K9) esok bagi menjalankan kerja-kerja forensik untuk mengenal pasti punca insiden kebakaran di Wisma Jakel, Seksyen 7 di sini.

Pengarah JBPM Selangor Datuk Norazam Khamis berkata setakat ini, punca kejadian masih belum diketahui dan dua ekor anjing pengesan khas  bagi mengenal pasti punca kebakaran akan digerakkan.

“Kita akan panggil pasukan K9 untuk mengesan jika adanya perbuatan khianat, accelerant (bahan yang mempercepat perebakan api) dan sebagainya bagi memastikan punca kebakaran.

“Apabila api padam sepenuhnya, barulah unit K9 bertindak untuk melakukan siasatan bagi mengenal pasti jika ada perbuatan khianat terhadap Wisma Jakel,” katanya dalam sidang media berhampiran lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata laporan penuh insiden itu dijangka diketahui dalam tempoh sebulan.

Norazam juga berkata Wisma Jakel setinggi lima tingkat itu didapati terbakar sepenuhnya dalam insiden yang dilaporkan berlaku pada kira-kira 7 pagi.

Beliau berkata bomba sudah berjaya mengawal kebakaran pada peringkat awal namun api kemudian didapati merebak ke tempat simpanan dan stor barangan jualan.

“Keseluruhannya kita telah berjaya mengawal api pada 3 petang. Setakat ini, kita masih memadam kebakaran di bahagian stor yang tinggal lagi 10 peratus. Dijangka satu atau dua jam lagi kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya,” kata beliau.

Norazam berkata sejumlah 89 anggota serta pegawai dari enam balai bomba terlibat dalam operasi memadam kebakaran itu dan pihaknya menggunakan empat unit jentera Aerial Ladder Platform (ALP) termasuk dari Kuala Lumpur dan Melaka serta 5 tangki air berkapasiti 20,000 liter.

Mengulas keadaan seorang anggota bomba bantuan yang cedera ketika proses memadam kebakaran itu, beliau berkata mangsa hanya mengalami kecederaan ringan selepas serpihan batu panas termasuk ke dalam bajunya dan dia telah dihantar ke hospital berhampiran untuk pemeriksaan lanjut.

Gedung tekstil terkemuka itu dilaporkan terbakar awal pagi tadi dan pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut pada 7.08 pagi.

Sumber: BERNAMA

The post Kebakaran Wisma Jakel: Unit K9 Akan Digerak Esok appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*