

Kecoh, Penduduk Cemas Berdepan Dua Ular Sawa Berukuran 8 & 9 Meter
Suasana bertukar kecoh apabila dua ekor ular sawa masing-masing berukuran lapan dan sembilan meter menyerang babi dan anjing di Sulawesi Tenggara, Indonesia.
Lapor Detik.com, penduduk Muna Barat terkejut melihat kehadiran haiwan terbabit dan bertindak untuk menetaknya selepas keadaan tidak dapat dikawal.
Difahamkan, pada awalnya ular sawa berukuran lapan meter itu ditemukan di sebuah hutan di Desa La Haji pada Jumaat sekitar 3 petang.
Reptilia itu ditemui oleh penduduk bernama La Bansi, yang dilaporkan sedang berehat di kebunnya ketika kejadian berlaku.
La Bansi yang berumur 60 tahun itu terdengar bunyi rintihan babi yang kedengaran seperti sengsara kerana diserang ular.
Dia kemudian dengan beraninya mendekatkan diri kepada bunyi itu dan terkejut apabila mendapati seekor ular sawa sedang menyerang babi hutan tersebut.
“Saya sedang tidur di pondok, tiba-tiba terdengar bunyi khinzir merintih,” katanya kepada pemberita.
Terkejut dengan keadaan itu, La Bansi berdiri kaku sebelum akhirnya membuat keputusan untuk membunuh haiwan yang sedang tergantung di dahan pokok itu.
BACA: Tular Aksi Wanita Berani Layan Ular Tedung Seakan Kucing Buat Ramai Meremang
Dia mengambil parang dan menetak ekor ular terbabit.
Ular sawa itu kemudian jatuh dari pokok dan tanpa berfikir panjang La Bansi menetak ular itu di bahagian berdekatan mukanya.
“Saya mula-mula potong ekor ular itu dan dia kemudian jatuh daripada pokok.
“Dua kali saya potong di bahagian berdekatan mukanya dan ular itu mati serta-merta,” ujarnya menceritakan mengenai kejadian terbabit.
La Bansi mengakui bahwa dia berasa teragak-agak untuk membunuh ular itu.
Namun sekiranya dia tidak membunuh ular itu dan membiarkannya, ia akan memberi kesan buruk kepada penduduk setempat.
“Jika saya tidak membunuhnya, saya takut dia akan menyerang orang di sekelilingnya,” katanya.
Ular sawa ditemui berukuran 8 dan 9 meter
Tiga hari selepas kejadian itu, penduduk Muna Barat sekali lagi berdepan detik cemas dengan penemuan seekor ular sawa yang berukuran sembilan meter.
Ular itu ditemui pada Rabu dan mati ditetak oleh penduduk di situ menggunakan kapak.
Keputusan itu dibuat selepas ular sawa terbabit menyerang seekor anjing dan difahamkan dia hampir di makan oleh reptilia itu.
Sumber: Detik.com
The post Kecoh, Penduduk Cemas Berdepan Dua Ular Sawa Berukuran 8 & 9 Meter appeared first on Siakap Keli.
Be the first to comment