Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mahu memastikan kemampuannya terus ditingkatkan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini apabila mengatur satu aksi perlawanan antarabangsa menentang kelab Liga 1 Indonesia Malut United FC (MUFC) di Stadium Darul Aman pada 30 Ogos ini.
Kejohanan yang dinamakan Nusantara Challenge 2024 (NC 2024) berdepan MUFC ini adalah aksi persahabatan antarabangsa Tier 2 dan bakal berlangsung pada pukul 8.45 malam di hadapan penyokong skuad hijau kuning.
Aksi antarabangsa ini akan dimulakan dengan perlawanan latihan secara tertutup terlebih dahulu pada 28 Ogos dan kemudian disusuli aksi perlawanan utama yang dibuka untuk peminat pada 30 Ogos.
Menurut kenyataan media KDA FC semalam, aksi perlawanan persahabatan membabitkan kedua-dua pasukan ini usaha bagi memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik dan kesukanan di antara kedua-dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia yang berada dalam rantau Nusantara.
“Kedah Darul Aman FC dengan bangganya mempersembahkan Nusantara Challenge 2024, iaitu sebuah kejohanan bola sepak persahabatan bertaraf antarabangsa yang julung kali diadakan bagi menemukan dua pasukan dari rantau nusantara.
“Disamping merayakan keunikan dan kekayaan warisan budaya yang dikongsi bersama, NC 2024 bukan hanya sekadar satu perlawanan bola sepak, tetapi juga lambang perpaduan dan kebangkitan semangat serantau yang lama terjalin di Asia Tenggara.
“NC 2024 adalah platform untuk mempamerkan bakat bola sepak dan menjalin kerjasama erat di kalangan negara-negara jiran di rantau Asia Tenggara, dan Kedah sebagai tuan rumah, kejohanan ini dijangka akan membawa pengalaman bola sepak yang penuh dengan aksi mendebarkan dan mempamerkan bakat-bakat terbaik dari rantau ini.
Bertepatan dengan bulan Ogos sempena hari sambutan kemerdekaan negara membabitkan Malaysia dan juga Indonesia, media KDA FC juga memaklumkan NC 2024 akan memperlihatkan perpaduan dan persaudaraan antara Malaysia dan Indonesia yang juga dua negara berkongsi sejarah dan budaya.
“Bersempena dengan sambutan kemerdekaan Malaysia dan Indonesia, acara ini bukan sekadar satu pertandingan, tetapi satu platform untuk menyatukan semangat kebangsaan kedua-dua negara.”
Laungan ‘Merdeka!’ dan ‘Dirgahayu!’ akan berkumandang dengan lebih kuat dalam setiap perlawanan, sebagai simbol perpaduan yang kukuh dan semangat kebangsaan yang tidak pernah pudar.
“Melalui NC 2024, kita bukan sahaja mengingati sejarah perjuangan masa lalu, tetapi juga merintis jalan untuk masa depan yang lebih gemilang bagi Malaysia dan Indonesia,” katanya.
Sementara itu Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC Shahrul Samsudin berkata, NC 2024 ini adalah sebuah inisiatif penting dalam usaha memperkukuhkan hubungan sukan antara negara-negara serantau melalui platform bola sepak.
sumber: HM
“Kejohanan ini bukan sahaja menyediakan peluang kepada pemain untuk bersaing di peringkat tertinggi, tetapi juga menjadi platform mempromosikan tempat-tempat pelancongan menarik sempena Tahun Melawat Kedah 2025 serta menjalin nilai-nilai persahabatan, kerjasama, dan kesatuan dalam kalangan masyarakat Nusantara.
“Kami berharap kejohanan ini akan menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh semua peminat bola sepak khususnya dan masyarakat lain secara amnya.” katanya.
Harga tiket bagi menyaksikan kejohanan ini adalah RM15 untuk zon terbuka, RM25 untuk zon pavilion, RM35 untuk astaka utama dan RM10 dikenakan bagi tiket kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun untuk semua Zon.