Kedah Darul Aman (KDA) FC akan berdepan juara bertahan

Kuala Lumpur: Kedah Darul Aman (KDA) FC akan berdepan juara bertahan, PDRM FC pada aksi separuh akhir bagi merebut tiket ke final Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) 2024/25.

Ini selepas skuad bimbingan Victor Andrag menyingkirkan pasukan Liga A1 Semi Pro, KL Rovers secara agregat 6-0 selepas menundukkan lawan itu 3-0 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, petang tadi.

Terdahulu, KDA FC menewaskan KL Rovers 3-0 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Darul Aman, 13 Disember lalu.

Pada aksi terbabit, KL Rovers berjaya bertahan dengan baik namun mereka lebih mengancam khususnya di hujung babak pertama apabila berjaya melakukan dua percubaan tepat menguji penjaga gol KDA FC, Ifwat Akmal Chek Kassim.

Ketika aksi separuh masa pertama tampak berakhir tanpa jaringan, percubaan Mohamad Hasbullah Abu Bakar daripada luar kotak penalti pada minit ke-45 membolehkan KDA FC mendapat jaringan pembukaan.

Bersambung babak kedua, KDA FC terlepas peluang melebarkan jurang apabila percubaan Mohammad Afeeq Iqmal Rosli yang sudahpun menggelecek penjaga gol KL Rovers, Ahmad Asyraaf Omar tersasar pada minit ke-50.

sumber: HM

Pelawat berjaya menambah gol kedua menerusi Aiman Afif Md Afizul pada minit ke-74 sebelum Amirul Hisyam Awang Kechik memastikan gol ketiga mereka di hujung permainan.