KUALA LUMPUR: Mampukah Kedah Darul Aman (KDA) FC bertahan dengan kudrat pemain yang ada bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) yang masih lagi panjang dan belumpun memasuki separuh musim setakat ini?
Ini kerana pasukan ‘Kenari’ itu berdepan satu lagi ‘bala’ apabila mereka tidak boleh mendaftarkan pemain baharu sekiranya gagal menyelesaikan tunggakan gaji dihadapi mereka sebelum tarikh tutup jendela perpindahan kedua Liga M, esok.
Perkembangan itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Giorgio Pompili Rossi yang memaklumkan skuad bimbingan Nafuzi Zain itu sudah dikenakan sekatan perpindahan pemain susulan masalah yang membelenggu pasukan itu.
“KDA FC dikenakan sekatan perpindahan sejak bulan lalu dan mereka diberikan tempoh 30 hari untuk menyelesaikan masalah itu. Tetapi saya tidak tahu jika mereka boleh melakukan sesuatu sebelum tarikh akhir itu.
“Ya (mereka tidak boleh mendaftarkan pemain baharu) jadi jika mereka mahu menandatangani pemain baharu, mereka perlu menyelesaikan semuanya sebelum 22 September,” kata Rossi.
Setakat ini, KDA FC sudahpun kehilangan dua tonggak utama iaitu Habib Haroon dan juga penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi yang menyertai Selangor FC (SFC) serta seorang lagi penjaga gol mereka, Fikri Che Soh.
Keputusan ini sudah pasti memberi tamparan yang hebat khususnya kepada Nafuzi dalam misi untuk memperkasa pasukan dan memburu kedudukan yang lebih baik dalam liga selepas ini.
Isu tunggakan gaji menyaksikan pemain skuad utama memboikot sesi latihan dan tidak dapat diturunkan pada aksi berdepan KL City FC dan skuad Bawah 23 tahun (B-23) KDA FC gagal menyaingi KL City FC di mana mereka dibelasah 0-5 di Cheras.
Meskipun pemain utama kembali untuk menentang Sri Pahang FC (SPFC) kelmarin, mereka terikat 2-2 sekali gus menyaksikan mereka gagal untuk meraih sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir membabitkan semua pertandingan.
sumber: BH
Selepas mengharungi 10 perlawanan, KDA FC menghuni tangga ke-10 Liga Super dengan sembilan mata hasil tiga kemenangan dan tiga keputusan seri.