Kuala Terengganu: Selepas hampir empat tahun berkelana bersama pasukan Terengganu FC (TFC), akhirnya Muhammad Hakimi Abdullah kembali ke pangkuan negeri kelahirannya, Kelantan.
Bekas pemain kebangsaan itu bakal beraksi bersama pasukan Kelantan Darul Naim (KDN) FC secara pinjaman sehingga berakhir saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, pemain berusia 25 tahun itu dipinjamkan selama lapan bulan mulai September 2024 sehingga April tahun depan.
“Kita bersedia melepaskan pemain itu (Hakimi) secara pinjaman kepada KDN FC selepas persetujuan dicapai antara kedua-dua belah pihak.
“Pelepasan pemain kelahiran Rantau Panjang, Kelantan itu bagi menambah lagi minit permainannya selepas lebih kerap memanaskan bangku simpanan pasukan.
“Kita harapkan pemain sayap itu mampu memberikan impak yang positif buat pasukan baharunya selain dapat meningkatkan lagi prestasinya,” ujar Mohd Sabri ketika dihubungi.
Berdasarkan rekod, pemain berketinggian 1.70 itu mula menyarung jersi TFC pada 2021 ketika bawah kendalian jurulatih kelahiran Kelantan, Nafuzi Zain.
sumber: HM
Paling diingati pemain itu mencuri tumpuan dalam saingan Liga Super April 2021 apabila jaringan tunggalnya pada minit ke-57 membantu TFC menewaskan pasukan gergasi, Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri.
Selain Muhammad Hakimi, seorang lagi pemain TFC, Muhammad Zuasyraf Zulkiefle turut dipinjamkan kepada pasukan KDN sejak awal musim ini.