Kenali SMART, Pasukan Khas Bantu & Urus Mangsa Bencana Di Dalam Mahupun Luar Negara

Kenali SMART

Kenali SMART, Pasukan Khas Bantu & Urus Mangsa Bencana Di Dalam Mahupun Luar Negara

Baru-baru ini kita sering didengarkan dengan tragedi bencana alam yang berlaku di serata dunia sehingga menyebabkan banyak nyawa terkorban.

Seperti gempa bumi yang berlaku di Turkiye baru-baru ini telah mengakibatkan sekurang-kurangnya ribuan nyawa melayang malah keadaan di negara itu digambarkan seperti di medan perang.

Terdahulu Siakap Keli melaporkan seramai 912 terkorban dalam wilayah Turkiye manakala 326 mangsa korban lagi melibatkan sebahagian wilayah yang dikawal di bawah pentadbiran kerajaan Syria.

Susulan itu, ramai bantuan yang diperlukan bagi menolong mangsa-mangsa yang terlibat dalam tragedi tersebut misalnya dari aspek sumber makanan, perubatan dan lain-lain lagi.

Tidak ketinggalan juga, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) telah dihantar ke Turkiye untuk membantu mangsa yang terkesan ekoran tragedi tersebut.

Tambahan pula, pasukan SMART telah menerima pengiktirafan Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) pada tahun 2016 yang membolehkan pasukan itu dihantar untuk menyertai misi bencana di luar negara.

Kenali SMART
Kredit: Portal NADMA

SMART? Adakah anda tahu dengan kewujudan sebuah pasukan khas yang ditubuhkan di Malaysia untuk membantu dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa terlibat sehingga ke luar negara?

Jadi dalam perkongsian ini, anda akan didedahkan dengan SMART yang bertindak sebagai salah satu agensi penting semasa bencana alam melanda tidak kira di dalam mahupun luar negara.

Baca juga: Malaysia Hantar Pasukan SMART Bantu Turkiye

Sejarah awal penubuhan SMART

Pada 11 Disember 1993, negara kira digemparkan dengan tragedi runtuhan bangunan satu blok kondominium Highland Tower di Taman Hillview, Hulu Kelang, Selangor.

Dalam insiden itu, seramai 48 orang telah terkorban namun disebabkan tiada kepakaran pasukan penyelamat yang khusus dalam bidang collapsed structure, negara telah meminta bantuan search & rescue di peringkat antarabangsa bagi membantu merungkaikan kejadian tersebut.

Ekoran daripada insiden tersebut iaitu pada 18 Mei 1994, Majlis Keselamatan Negara akhirnya memutuskan untuk menubuhkan SMART berdasarkan kelulusan Jemaah Menteri.

Bagaimanapun, SMART berkuatkuasa sepenuhnya pada 1 Ogos 1995 dengan kekuatan sebanyak 85 anggota yang bertempat di markas PULAPOL Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Sekitar September 2009, SMART telah berpindah ke Markas SMART, Pulau Meranti, Puchong Selangor.

Pasa 1 Oktober 2015, SMART diletakkan di bawah bidang kuasa Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Malaysia dengan penambahan sebanyak 141 anggota yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (JBPM).

Berikut merupakan carta organisasi SMART:

Kenali SMART
Kredit: Portal NADMA

Seperti yang kita tahu pasukan penyelamat pasti ada bidang atau kepakarannya yang tersendiri, misalnya SMART mempunyai lima kepakaran utama iaitu struktur bangunan runtuh, penyelamatan dari tempat tinggi yang menggunakan tali, ruang sempit, penyelamatan di kawasan air dan yang terakhir adalah penyelamatan di gunung atau hutan belantara.

NADMA gariskan empat fungsi SMART

Memetik portal NADMA, SMART digariskan dengan empat fungsi utama iaitu bertindak untuk melaksanakan search & rescue di mana tugas tersebut adalah di luar kemampuan agensi penyelamat sedia ada.

Seterusnya, menghadiri operasi search & rescue yang rumit yang mana ia memerlukan kepakaran yang tinggi serta peralatan canggih.

Dalam masa yang sama, SMART juga bertanggungjawab dalam kejadian yang dijangka menjadi bencana besar serta melibatkan ramai mangsa.

Yang terakhir, SMART bertindak membantu dalam kejadian bencana yang berlaku di dalam dan luar negara apabila diperlukan.

Kenali SMART
Kredit: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia | Facebook

Bencana alam besar yang melanda negara kita sebelum ini ialah tragedi tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan di Batang Kali, Selangor kira-kira hujung tahun lalu.

Ketika itu anggota SMART dikerahkan tenaga mereka mencari dan menyelamatkan mangsa-mangsa tanah runtuh sama ada yang terperangkap, ditemui masih hidup mahupun sudah terkorban.

Terkini, SMART diterbangkan ke Turkiye bagi membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa-mangsa bencana gempa bumi kuat yang melanda wilayah selatan negara berkenaan.

Sumber: Portal Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)

The post Kenali SMART, Pasukan Khas Bantu & Urus Mangsa Bencana Di Dalam Mahupun Luar Negara appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*