Kenapa Amerika Syarikat Tak Buat “Military Parade” Macam Rusia & China? Ini Alasannya

Kenapa Amerika Syarikat Tidak Mengadakan Acara Pembarisan Ketenteraan

Kenapa Amerika Syarikat Tak Buat “Military Parade” Macam Rusia & China? Ini Alasannya

Di Malaysia, kita sering ternanti-nantikan sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos setiap tahun. Pada hari berkenaan, pelbagai aktiviti diadakan, antaranya bagi mengenang pahit jerih perjuangan nenek moyang menuntut kemerdekaan.

Pada masa yang sama, kita juga disajikan dengan acara perbarisan daripada pelbagai sektor, sama ada dari sektor kerajaan mahupun sektor swasta.

Selain daripada penampilan kereta berhias yang berwarna warni, kita juga dapat melihat perbarisan pasukan keselamatan berserta aset-aset terkini.

Sejak tahun lepas, kita masih tidak melupai fenomena Abang Bomba Sado yang menjangkiti seluruh rakyat Malaysia. Kita juga diperkenalkan dengan beberapa unit khas dalam ketenteraan seperti GGK, VAT 69 dan sebagainya.

Namun, percaya atau tidak, satu negara ini yang memiliki angkatan tentera terkuat di dunia jarang atau tidak pernah mengadakan sebarang acara perarakan ketenteraan (military parade).

Alasan kenapa Amerika Syarikat tiada military parade

Negara berkenaan adalah Amerika Syarikat dan ia pernah dipersoalkan oleh bekas Presiden Amerika Syarikat sendiri, Donald Trump sebelum ini.

Jadi, kenapa Amerika Syarikat tidak mengadakan perbarisan ketenteraan seperti kuasa besar yang lain, misalnya China dan Rusia?

Tiada penglibatan dalam peperangan sepenuh masa

Menurut The Soldier Project, salah satu sebabnya mungkin kerana Amerika Syarikat tidak terlibat dalam mana-mana peperangan secara sepenuh masa ketika ini.

Amerika Syarikat pernah mengadakan perbarisan ketenteraan sebelum ini terutamanya ketika mereka terlibat dalam peperangan secara sepenuh masa.

Kali terakhir negara itu mengadakan perarakan ketenteraan adalah pada 1991, sebagai meraikan kemenangan dalam Peperangan Teluk.

Namun hari ini, dengan tiada penglibatan negara itu dalam mana-mana peperangan secara sepenuh masa, maka tiada lagi keperluan mengadakan perarakan ketenteraan.

Pada masa lepas, kebanyakan acara pembarisan diadakan adalah untuk meraikan kemenangan dan menghargai sumbangan tentera dalam peperangan.

Bagi menghargai wira-wira negara pula, rakyat Amerika Syarikat akan menyambut Hari Veteran secara meriah.

acara pembarisan tentera amerika
Kredit: AFP

Acara pembarisan memakan perbelanjaan yang tinggi

Selain faktor tiada penglibatan dengan peperangan secara langsung, kebanyakan rakyat Amerika Syarikat tidak menyokong acara ini.

Mereka percaya bahawa wang yang digunakan untuk menganjurkan perarakan ketenteraan perlu disalurkan ke perbelanjaan negara yang lebih penting.

Di Amerika Syarikat, terdapat ramai penduduknya yang berpendapat bahawa dana yang dilaburkan untuk acara ini bersifat sia-sia.

Bagi mereka, peruntukan itu lebih baik disalurkan kepada keperluan-keperluan lain seperti mengrekrut anggota, latihan serta membeli kelengkapan tentera.

Kredit: AFP

Tidak perlukan acara tersebut untuk dilihat sebagai negara ‘dominan’

Biasanya, perarakan ketenteraan skala besar juga diadakan bagi menunjukkan kekuatan kententeraan sesebuah negara. Ia juga boleh dianggap sebagai ‘amaran’ kepada negara-negara lain supaya tidak memandang rendah kekuatan negara tersebut.

Namun begitu, secara dasarnya seluruh dunia mengakui Amerika Syarikat adalah negara dengan kuasa ekonomi dan kuasa ketenteraan nombor satu dunia.

Lihat sahaja pada data Top 10 GDP global, negara itu mempunyai GDP sebesar USD 20.89 trilion pada 2022. Manakala  China di tangga kedua pula memiliki GDP sebesar USD 14.72 trilion.

Dari sudut Top 10 Perbelanjaan Ketenteraan global pula, Amerika Syarikat membelanjakan USD 877 bilion pada 2022. Jumlah berkenaan adalah tiga kali ganda berbanding China di tangga kedua yang membelanjakan sekitar USD 299 bilion.

Jumlah yang dibelanjakan Amerika Syarikat adalah 39 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan ketenteraan global pada tahun tersebut.

Jadi, tiada keperluan untuk negara tersebut ‘mengingatkan’ mana-mana negara tentang pengaruh yang dimilikinya.

Selain itu, perarakan ketenteraan skala besar biasanya diadakan di negara yang ditadbir oleh golongan totalitarian dan diktator.

Sebagai negara pengamal tegar demokrasi, Amerika Syarikat berpendapat perarakan ketenteraan bercanggah dengan prinsip negara tersebut.

Malah, bagi warganegara itu yang sangat patriotik, mereka mendakwa bahawa negara mereka tidak memerlukan acara tersebut untuk memperagakan kekuasaannya.

Bagi mereka, Amerika Syarikat sudah diakui sebagai kuasa dominan ketenteraan, tanpa perlu mengadakan perarakan ketenteraan.

amerika syarikat military parade
Kredit: AFP

Acara perbarisan ketenteraan peringkat negeri masih diadakan

Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna bahawa setiap acara perbarisan peringkat negeri akan disekat. Masih terdapat acara perbarisan berskala kecil diadakan, terutamanya pada hari-hari istimewa dalam kalendar ketenteraan.

Hari Veteran dan sambutan Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat pada setiap tahun akan diselitkan dengan acara perbarisan ketenteraan.

amerika syarikat military parade
Kredit: AFP

Secara umumnya, ada beberapa acara perbarisan ketenteraan yang masih tidak dapat dipisahkan dari budaya warga Amerika Syarikat.

BACA: Jangan Buat ‘Ini’ Sebelum X-ray Gigi, Nanti Nampak Macam Pakai Susuk

Sumber: The Soldiers Project

The post Kenapa Amerika Syarikat Tak Buat “Military Parade” Macam Rusia & China? Ini Alasannya appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*