Kenyataan MB Kedah, P.Pinang Milik Kedah Satu Hasutan – Ahmad Zahid

mb kedah ahmad zahid

Kenyataan MB Kedah, P.Pinang Milik Kedah Satu Hasutan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) — Kenyataan Pulau Pinang milik Kedah yang dibuat Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor, adalah satu tindakan menghasut, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata kenyataan itu juga menunjukkan, Menteri Besar Kedah itu daif dari segi ilmu sejarah, malah tidak memahami Perlembagaan.

“Hanya orang yang tidak buta sejarah sahaja tidak membangkitkan perkara ini.

“Saya fikir ini bukan sekadar menghasut, tetapi juga daif dari segi ilmu sejarah,” katanya kepada pemberita selepas menutup Seminar Fikrah Siddiq Fadzil – Citra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia, di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Muhammad Sanusi kelmarin (Isnin), yang menegaskan Pulau Pinang adalah milik Kedah kerana kedua-dua negeri itu tidak mempunyai sempadan.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata sebagai seorang pemimpin negeri, Muhammad Sanusi seharusnya faham soal Perlembagaan dan perundangan di sebalik perjanjian antara kedua-dua negeri itu.

Beliau berkata terdapat perkara yang sudah ditandatangani dan ia termaktub dalam perjanjian pemerintahan kedua-dua negeri ketika berada di era kolonialisme.

“Biarpun kita menolak (perjanjian) kolonialisme itu, namun perjanjian itu diterjemahkan dalam Suruhanjaya Cobbold bagi pembentukan sebuah (Persekutuan) Tanah Melayu,” katanya.

BACA: Sanusi Dakwa Pulau Pinang Milik Kedah

Ahmad Zahid berharap, Muhammad Sanusi turut memahami serta mengetahui mengenai Negeri Melayu Bersekutu, Negeri-Negeri Selat dan Negeri Melayu Tidak Bersekutu, dalam membuat kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri berkata Kerajaan Perpaduan wajar diberi masa untuk membuktikan prestasinya mengurus tadbir negara, dan adalah tidak adil untuk menilai prestasi sebenar kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam tempoh tujuh bulan sahaja.

“Adalah tidak adil kerajaan yang baharu berusia tujuh bulan ini, dilemparkan dengan soal prestasi.

“Semua harus tahu bahawa kesan dari limpahan pengumuman dan dana yang disediakan melalui pembentangan Belanjawan 2023 umpamanya, hanya akan terlihat apabila pelaksanaannya dilakukan sepenuhnya,” katanya.

Berhubung Seminar Fikrah Siddiq Fadzil, Ahmad Zahid berharap sesi perkongsian ilmu itu diteruskan dan dikembangkan lagi, mengambil kira pemikiran tokoh itu yang disifatkannya cukup terkedepan, bersifat sejagat, inklusif dan meraikan realiti dalam konteks masyarakat berbilang budaya dan agama di negara ini.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk penganjuran seminar, forum atau wacana pemikiran tokoh bahasa dan budaya itu, pada masa akan datang.

Sumber: BERNAMA

BACA: Dakwaan Pulau Pinang Milik Kedah, Sanusi Perlu Faham Perlembagaan – PM Anwar

The post Kenyataan MB Kedah, P.Pinang Milik Kedah Satu Hasutan – Ahmad Zahid appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*