Keputusan representasi kedua Yasin 6 Mac

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 6 Mac ini bagi keputusan representasi kedua yang dikemukakan oleh penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman bagi mengkaji tiga pertuduhan berkaitan dadah.

Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad turut mengekalkan tarikh sama bagi perbicaraan hari pertama tertuduh yang dijadualkan berlangsung selama 15 hari pada bulan tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Asnawi Abu Hanipah memaklumkan representasi kedua masih dipertimbangkan oleh peringkat tertinggi Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Mahkamah mengekalkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini dan menetapkan perkembangan representasi pada hari yang sama,” ujar beliau.

Hari ini ditetapkan untuk prosiding sebutan kes tersebut manakala peguam Ariff Azami Hussein hadir mewakili Yasin. Pada 11 Januari lalu, Yasin Sulaiman gagal dalam permohonan untuk mengkaji tiga pertuduhan berkaitan dadah selepas AGC menolak representasi yang dikemukakannya.

Dengan perkembangan itu, Yasin dijadual dibicarakan selama 15 hari bermula Mac iaitu pada 6 hingga 10, 13 hingga 17 dan 20 hingga 24 Mac manakala 10 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan.

Pada prosiding sebelum ini, pihak pembelaan memaklumkan representasi antaranya melibatkan dokumen-dokumen perubatan yang agak komprehensif bagi menyokong permohonan agar pertuduhan terhadapnya dikaji. Representasi setebal 47 muka surat itu turut mengandungi rawatan yang diperlukannya, alasan kemanusiaan, rayuan melibatkan keluarga dan keadaan terkini Yasin.

Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 48, bernasib baik apabila tidak berdepan dengan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis Kanabis seberat 214 gram.

Perkara itu berikutan pihak pendakwaan memaklumkan bahawa pertuduhan mengedar ditarik dan Yasin dituduh dengan pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.

Mengikut pertuduhan baharu itu, Yasin didapati dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac 2022.

Bagi kesalahan itu, Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama. Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Yasin turut didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Yasin turut didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) akta itu dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun. – UTUSAN

The post Keputusan representasi kedua Yasin 6 Mac appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*