Kerajaan Dapat Jimat RM17 Bilion Jika T20 Tidak Diberi Subsidi Bahan Api – Ahmad Maslan

subsidi bahan api

Kerajaan Dapat Jimat RM17 Bilion Jika T20 Tidak Diberi Subsidi Bahan Api – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) — Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa kerajaan boleh jimat sehingga RM17 bilion sekiranya golongan berpendapatan tinggi (T20) tidak diberikan subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pada 2022, penggunaan ketiga-tiga bahan api itu dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40) hanya sekitar 24 peratus, manakala berpendapatan sederhana (M40) sebanyak 41 peratus dan kumpulan T20 adalah 35 peratus.

“Dari segi angka ialah RM50.8 bilion, kalau darab dengan 35 peratus yang digunakan T20 nilainya RM17.8 bilion.

“Jika T20 tidak diberikan subsidi petrol, diesel dan LPG, anggaran penjimatan RM15 bilion ke RM17 bilion, jadi Ahli-ahli Yang Berhormat boleh bayangkan berapa banyak perkara lain yang kita boleh gunakan untuk bantu rakyat dalam pelbagai urusan di 26 kementerian,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) yang ingin tahu sama ada langkah kerajaan menggunakan pangkalan data bersepadu dalam mekanisme pemberian subsidi bersasar berkesan untuk mengelak ketirisan, dan bagaimana mereka yang dalam kumpulan M40 yang tercicir ke kumpulan B40 di bandar akan menerima manfaat subsidi bersasar itu.

Ahmad berkata jumlah subsidi yang diberikan untuk diesel pada 2018-2019 adalah RM5.8 bilion hingga RM6.1 bilion, namun subsidi itu meningkat kepada RM8.4 bilion berikutan penggunaannya yang bertambah.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan akan terus memantau aktiviti penyeludupan petrol dan diesel secara bersepadu bersama agensi berkaitan termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Katanya, harga RON95 di Malaysia adalah jauh lebih murah iaitu RM2.05 seliter berbanding negara jiran seperti Singapura (RM8.51 seliter), Thailand (RM5.71 seliter) dan Indonesia (RM3.78 seliter).

Ahmad menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang mengenai langkah yang diambil kerajaan terhadap individu yang melakukan penyeludupan bahan api tersebut.

Sumber: BERNAMA

BACA: Subsidi Telur Dan Ayam Diteruskan Hingga Jun Dengan Kos RM1.28 Bilion

The post Kerajaan Dapat Jimat RM17 Bilion Jika T20 Tidak Diberi Subsidi Bahan Api – Ahmad Maslan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*