Kerajaan Hargai Usaha Peniaga Buat Menu Rahmah, Akan Bantu Promosikan Melalui Portal Kementerian

Kuantan, 17 Februari 2023 – Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Senator Puan Hajah Fuziah Binti Salleh menzahirkan penghargaan buat pengusaha restoran yang menawarkan menu RAHMAH di premis mereka.

Ujarnya dalam satu kenyataan hari ini, kerajaan melalui KPDN akan membantu mempromosikan premis terlibat dalam portal Kementerian sebagai usaha menguar-uarkan inisiatif itu kepada orang ramai.

“KPDN turut mengucapkan terima kasih kepada semua pengusaha restoran yang telah menyahut seruan kerajaan untuk menyediakan Menu RAHMAH kepada rakyat. Kerajaan akan membantu mempromosi premis yang menyediakan Menu Rahmah dalam portal Kementerian (platform direktori) untuk di akses rakyat sebelum membuat keputusan mengunjung ke premis berdekatan dan pilihan mereka serta keluarga.

“Orang ramai boleh melayari direktori Menu RAHMAH di pautan https://menurahmah.kpdn.gov.my dan media sosial KPDN Laman Rasmi untuk mengetahui lokasi inisiatif Menu RAHMAH di seluruh negara,” katanya semasa menghadiri jelajah Menu RAHMAH di Kuantan, hari ini.

Tambahnya, usaha ini adalah bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat yang memerlukan untuk membeli makanan bermasak yang seimbang pada harga RM5 dan ke bawah.

“Menu RAHMAH adalah Private Driven Initiative atau inisiatif yang dipelopori oleh syarikat swasta secara sukarela. Kerajaan tidak menentukan harga, kaedah pelaksanaan, bahan-bahan, menu, serta lauk yang mesti dijual.

“Bagi premis yang telah pun menjual sesuatu hidangan atau menu pada harga RM5 atau ke bawah, mereka boleh menjenamakan semula menu itu sebagai Menu RAHMAH. Kerajaan amat mengalu-alukan premis yang bersedia mengurangkan harga menu sedia ada ditawarkan di premis mereka kepada harga Menu RAHMAH tanpa mengubah kuantiti dan kualiti hidangan tersebut,” tambahnya lagi.

Gambar hiasan via Bernama

Jelasnya, para peniaga yang menyertai inisiatif ini telah memberikan reaksi positif apabila Menu RAHMAH kini dijadikan model perniagaan dan bahan promosi untuk menarik pelanggan ke premis mereka. Hal ini sekaligus membantu meningkatkan pendapatan peniaga dari segi kuantiti jualan dan menampung pengurangan margin selain bersedekah kepada mereka yang memerlukan.

Difahamkan, sehingga sehingga 16 Februari 2022 sejumlah 18 premis telah mendaftar di direktori Menu RAHMAH dan menyahut seruan Kerajaan untuk melaksanakan Menu RAHMAH secara sukarela di negeri Pahang.

“KPDN menyeru lebih ramai lagi pemain industri khususnya pengusaha restoran supaya dapat bersama-sama berganding bahu dengan kerajaan bagi menjayakan aspirasi ini,” ujar beliau.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut berhubung program-program di bawah Payung RAHMAH, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03- 8882 5881/ 5905 atau melalui emel kepada spip@kpdn.gov.my.

The post Kerajaan Hargai Usaha Peniaga Buat Menu Rahmah, Akan Bantu Promosikan Melalui Portal Kementerian appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*