Kerajaan Terengganu haramkan salon uniseks beroperasi, termasuk salon milik non-muslim

Kerajaan Terengganu melarang semua salun rambut uniseks daripada beroperasi di negeri itu dan mana-mana pengusaha salun yang melanggar peraturan itu boleh dikenakan denda di antara RM500 hingga RM1,000.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Alias Razak berkata, peraturan pengasingan jantina itu bukanlah peraturan baru. Sebaliknya ia merupakan syarat yang telah lama ditetapkan dalam permohonan lesen.

“Salun rambut atau kedai gunting rambut, sama ada diusahakan oleh orang Islam atau bukan Islam tidak dibenarkan menyediakan perkhidmatan gunting rambut untuk lelaki dan wanita pada masa yang sama.

“Tiada pengecualian untuk salun rambut atau kedai gunting rambut yang diusahakan oleh bukan Islam. Jika kita benarkan tukang gunting rambut wanita bukan Islam memotong rambut untuk pelanggan lelaki, lelaki Islam boleh mengunjungi kedai itu,” katanya.

Terdahulu, ADUN wanita, Zuraida Md Noor menggesa syarat pelesenan kedai gunting rambut dilaksanakan bagi memastikan kedai gunting rambut dan spa di Terengganu mematuhi syarak dengan mengasingkan jantina.

“Persoalannya, sejauh mana syarat-syarat ini dipatuhi? Saya mendapat aduan daripada masyarakat yang menyuarakan kebimbangan apabila terdapat percampuran lelaki dan perempuan dalam perkhidmatan gunting rambut ini.

“Hal yang sama juga berlaku di premis spa dan salon kecantikan diri. Saya hairan, bagaimana penggiat industri dandanan rambut dan salon kecantikan boleh terlepas pandang perkara besar ini,” katanya semasa sesi perbahasan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada 29 November lalu.

Di media sosial, tindakan kerajaan negeri itu menimbulkan perdebatan di kalangan netizen yang ada di antaranya mempertikaikan kenyataan pemimpin Pas yang sebelum ini mengatakan mana-mana peraturan yang digubal hanya membabitkan penduduk beragama Islam, tanpa mengganggu penduduk bukan beragama Islam.

“Kata tiada masalah dengan kaum lain. Tetapi peraturan merangkumi salon bukan Muslim juga. Kata lain, buat lain,” kata Bong Kum Tim.

“Kenapa tak suruh je kedai uniseks non muslim tampal je besar-besar kat pintu tu bahawa Muslim dilarang masuk? Benda basic semua muslim boleh fikir mana halal mana haram. Kalau ada muslim masuk juga, tu benak sungguh la. Kesian la sama dengan pengusaha salon non muslim pun terpaksa ikut sekali,” kata Sazli Bahar.

“Syabas Pas, asingkan juga tempat kedai makan lelaki dan perempuan,” kata Fran Muji.

“Lama-lama, negara ini ikut pada agama dan bangsa. Kedai Cina hanya boleh dikunjungi pelanggan Cina. Kedai Melayu hanya boleh dikunjungi pelanggan Melayu. Kalau berterusan macam ni, apa yang akan jadi dengan Malaysia,” kata Albert Asangki.

“Sebab itulah Sarawak dan negeri-negeri lain bimbang bila Pas yang memerintah. Cakap tak sekat kaum lain, tetapi buat juga,” kata Lee CK.

Apa pandangan anda?

BACA: Pengumuman kabinet: Anwar menteri kewangan, Zahid dan Fadillah TPM

Sumber: Sin Chew Daily, MalaysiaKini

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*