Kerja 20 jam sehari tak relevan, itu cara dulu – Yusry

BARU-BARU ini pelakon Sharnaaz Ahmad menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap segelintir syarikat produksi apabila masih mengamalkan jadual penggambaran tidak menentu sehingga pelakon dan kru yang terlibat ‘barai’ akibat bekerja lebih masa.

Menerusi hantaran dalam InstaStory miliknya, Sharnaaz meluahkan rasa kesal kerana masih ada produksi menjalankan penggambaran sehingga memakan masa selama 20 jam sehari.

“Produksi bodoh mana yang masih lagi melakukan kerja penggambaran hingga 20 jam sehari? Macam mana mereka layak dapat lesen untuk buka syarikat produksi.

“Finas sila pantau. Apapun, bukan di set aku. Kalau set aku, memang kena tendang penerbit dan pengarah,” tulis Sharnaaz.

Ujarnya lagi, budaya ‘lenjan’ artis dan kru dilihat sebagai sikap tamak oleh produser semata-mata untuk menjimatkan kos dengan melaksanakan penggambaran melebihi masa.

Oleh itu, Sharnaaz menuntut supaya kerja 12 jam untuk pelakon dan juga kru dikuatkuasakan seperti yang sepatutnya dan dipantau oleh Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).

ISU melibatkan kerja lebih masa perlu dibincangkan secara dalaman kata Yusry.
– AFIQ RAZALI

Bercakap tentang perkara sama, pengarah, produser dan pelakon Datuk Yusry Abdul Halim turut berpendapat waktu kerja melebihi 20 jam sehari untuk sesebuah produksi dilihat tidak wajar dan relevan pada hari ini.

Kata selebriti berusia 50 tahun itu ketika ditemui Pose, dia tidak melihat kerja lebih masa yang dilakukan dapat memberi jaminan bahawa hasil kerja akan menjadi lebih baik dengan menghasilkan karya bermutu.

“Bekerja selama 20 jam itu cara orang dulu. Bagi saya tidak sepatutnya berlaku lagi pada masa sekarang.

“Kalau saya sendiri sebagai pengarah dan penerbit, had masa bekerja adalah 12 jam sahaja. Lagi 12 jam digunakan untuk berehat.

“Tapi ada jugalah hari-hari tertentu mungkin kita terpaksa bekerja ‘ekstra’ sikit melebihi 12 jam. Tapi saya akan pastikan hari berikutnya, pelakon dan kru dapat rehat secukupnya,” ujar Yusry.

Pada masa sama, suami kepada aktres Datin Lisa Surihani itu menambah, isu kerja lebih masa melibatkan pelakon sebenarnya boleh diselesaikan secara dalaman tanpa perlu dihebahkan kepada orang ramai.

“Kita kena faham juga kadang-kala penggambaran terpaksa dijalankan melebihi masa kerana faktor-faktor tertentu seperti cuaca buruk.

“Justeru apabila situasi seperti ini berlaku, pihak produksi perlu berbincang dan mendapat persetujuan pelakon. Budi bicara itu penting.

“Sebab selalunya mereka yang bekerja lebih masa mesti sudah bersetuju secara lisan.

“Kalau tidak bersetuju mereka boleh katakan tidak. Jadi bila ada yang mengadu macam-macam, pada saya dia tidak gentleman,” katanya.

UJAR Yusry, sebagai pengarah, dia juga pernah bekerja lebih masa kerana tugas itu melibatkan kerja sebelum dan selepas penggambaran.

Sementara itu, Yusry berkata, masalah kerja lebih masa bukan sahaja melibatkan pelakon, bahkan kru juga terheret dengan masalah sama.

Bahkan, Yusry sendiri sebagai pengarah juga terpaksa bekerja lebih masa dalam sesebuah penerbitan naskhah sehingga perlu berada di set penggambaran seharian.

“Kalau pelakon kerja 20 jam, anda rasa pengarah kerja berapa lama pula? Mereka sampai sebelum pelakon tiba di lokasi. Sudah selesai, pengarah ada perbincangan pula bersama penerbit dan kru produksi.

“Jadi pengarah punya waktu bekerja lebih lama kerana kalau nak dibandingkan, setiap hari pengarah ada di set penggambaran tetapi pelakon hanya terlibat dalam babak mereka,” katanya.

Katanya lagi, komunikasi antara artis dan produksi sangat penting kerana masing-masing mempunyai hak meletakkan syarat sebelum menandatangani sesuatu kontrak.

“Ini adalah hak masing-masing. Kalau saya tak mahu bekerja melibatkan masa panjang, saya beritahu awal-awal tak mahu penggambaran lebih 12 jam.

“Meskipun tiada dalam kontrak untuk persetujuan kerja lebih masa, tetapi sekali-sekala saya boleh terima. Kalau perkara seperti ini berlaku setiap hari, saya ada hak untuk bersuara dan tidak mahu terlibat,” tegas Yusry.

The post Kerja 20 jam sehari tak relevan, itu cara dulu – Yusry appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*