Kes budak didera dikurung: Ibu saudara, suami diberkas, adik mangsa turut didera




Polis memberkas pasangan suami isteri bagi membantu siasatan berhubung kes dera dan kurung seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun di Kondominium Bella Vista, Jalan Cahaya 13, hari ini.

Suspek wanita yang tidak bekerja berusia 33 tahun dan suaminya berusia 29 tahun bekerja sebagai pemandu e-hailing ditahan pukul 6 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek wanita merupakan adik kandung kepada ibu mangsa dan tidak memiliki rekod lampau, manakala suaminya mempunyai satu rekod jenayah lampau.

“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek didapati negatif sebarang jenis dadah,” ujarnya sebentar tadi.

Menurutnya, pihak polis turut mendapati seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang merupakan adik kepada mangsa mempunyai kesan kecederaan lebam pada bahagian kaki, tangan dan belakang badan dipercayai akibat didera.

“Kedua beradik itu telah dirujuk ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan oleh pegawai perubatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah dimaklumkan untuk urusan penjagaan,” ujarnya.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati mangsa telah tinggal dengan suspek sejak dua tahun selepas bapa kandungnya meninggal dunia, manakala ibu kandungnya tidak mahu menjaga kedua beradik tersebut.

Katanya, kedua-dua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Ampang esok untuk permohonan reman dibawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Kes disiasat dibawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana telah menganiayai kanak-kanak sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Terdahulu, seorang kanak-kanak yang tidak tahan dikurung dan disyaki mangsa dera bertindak melarikan diri melalui tingkap berjaya diselamatkan di Kondominium Bella Vista, Jalan Cahaya 13, di sini hari ini.

Kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun itu cuba keluar dari rumah berkenaan melalui tingkap dan dia dilihat berdiri di atas penghadang tingkap di tingkat empat oleh penduduk kondominium itu.

BACA: Warga emas sanggup panjat dinding untuk elak ditangkap khalwat

Sumber: – KOSMO! ONLINE

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*