KUALA LUMPUR: Jentera tengah boleh dianggap sebagai ‘enjin’ buat kedua-dua pasukan dan kehadiran mereka memberikan nadi yang menghidupkan ‘perjalanan’ pasukan dalam sesuatu perlawanan diharungi.
‘Regista’, ‘trequartista’, ‘mezzala’ dan ‘carrilero’ – seni pemain yang beraksi di pelbagai posisi dengan peranan tersendiri ini diperagakan di kawasan tengah yang boleh dianggap menjadi tempat di mana segala-galanya berlaku di atas padang.
Di tengah inilah, ‘essence of battle’ dapat disaksikan, jadi finalis Piala FA, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC (SFC) diberkati dengan ‘limpahan’ pemain tengah berbakat yang sudah pasti merancakkan lagi pentas final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Pertembungan pemain elit daripada dua pasukan terbaik di ibu negara akan menguji sejauh mana kreativiti, ketahanan dan idea yang mampu dijana oleh ‘otak’ pasukan untuk menamatkan perlawanan selaku juara Piala FA 2024.
BH Sukan mendapatkan pandangan penganalisis bola sepak tempatan, Mohd Fauzi Pilus untuk meramalkan apa yang mungkin menjadi ‘inti peperangan’ di bahagian tengah pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
KELEBIHAN BUAT JDT, SFC PERLU BERMAIN DENGAN BIJAK
Sudah tentu antara dua pasukan ini, JDT ada lebih banyak kelebihan dengan kekuatan pemain tengahnya tetapi saya harap dengan kepemimpinan Safuwan Baharuddin di belakang, SFC ada strategi tersendiri untuk mencipta satu kejutan.
Kepemimpinan yang mantap menjadi antara faktor untuk menjayakan kebarangkalian strategi dan ia memerlukan usaha berpasukan yang baik di perlawanan akhir.
Saya dapat gambarkan yang SFC tidak akan bermain secara terbuka dan mereka menunggu detik yang tepat dan terbaik untuk melancarkan serangan ataupun menerusi serangan balas pantas.
Gandingan jentera tengah SFC perlu memberi ‘servis’ yang baik namun barisan atas perlu lebih klinikal untuk memastikan peratusan menjaringkan gol dapat ditingkatkan.
MANIPULASI KELEMAHAN JDT, KEJUTAN BOLEH TERJADI
Baru-baru ini pun, ada juga beberapa kelemahan dalam skuad JDT dan kalau SFC dapat mengambil peluang dan memanipuasi isu yang dihadapi JDT, kemungkinan kita akan menyaksikan kejutan di final.
Kita tidak nafikan yang JDT memang seimbang daripada setiap sudut merangkumi daripada bawah (pertahanan) ke atas (serangan) tetapi SFC akan momentum yang cantik dan ia perlu diteruskan secara konsisten di pentas besar ini.
Ada sedikit sentimen buat SFC menerusi kekuatan semangat yang sudah pasti akan membantu pemain untuk mencipta kejutan walaupun di atas kertas, ia lebih banyak memihak kepada JDT.
Berdasarkan data pun, ‘compactness’ seimbang tetapi dengan final ini, SFC akan turun dengan ‘nothing to lose’ dan berikan segalanya selain sokongan padu penyokong sendiri.
AKSI PEMAIN BERPENGARUH
Beberapa nama penting dalam mengendalikan bahagian tengah kedua-dua pasukan sangat berpengaruh dan mereka harus berada pada ‘top form’ untuk mendominasi permainan pada final nanti.
Kunci untuk ‘menghidupkan’ pasukan bergantung di kaki mereka menerusi transisi menyerang, daripada ‘compact play’ dan sudah pasti mereka akan lebih berhati-hati dan berwaspada.
Harus diingat, mereka juga perlu dikerah untuk menutup ruang daripada pasukan lawan dan mendapatkan lebih ‘compactness’ untuk menidakkan penembusan serangan daripada lawan masing-masing dengan mudah.
sumber: BH
TRANSISI SFC PERLU PANTAS
Kita tahu pertahanan JDT sering naik untuk membantu serangan, jadi akan ada kelompongan dan ruang ini bakal memberi kesempatan terbaik jika SFC dapat melakukan transisi yang pantas untuk menyerang kawasan itu.
Penyerang SFC juga tidak perlu mensia-siakan setiap kesempatan yang dihasilkan kerana peluang tidak akan selalunya datang apabila menentang pasukan seperti JDT.