KKD Teliti Dasar Perfileman Negara Untuk Penambahbaikan – Fahmi

kkd dasar penambahbaikan perfileman negara

KKD Teliti Dasar Perfileman Negara Untuk Penambahbaikan – Fahmi

ISKANDAR PUTERI, 11 Mac (Bernama) — Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedang meneliti Dasar Perfileman Negara bagi melihat aspek yang memerlukan penambahbaikan dalam usaha merangsang perkembangan industri kreatif negara pascapandemik COVID-19.

Menteri berkenaan Fahmi Fadzil berkata ia melibatkan beberapa perkara khusus bukan sahaja berkait pemain industri kreatif tempatan malah usaha menarik produksi luar ke Malaysia.

Beliau berkata langkah itu penting dalam memperkasa sektor yang berpotensi untuk menarik kemasukan pelabur luar dalam tempoh beberapa tahun akan datang dengan anggaran nilai mencecah lebih RM1 bilion.

“Antaranya kita memperkasa kerjasama dengan pemain industri, usahakan menambah baik program Insentif Penerbitan Filem di Malaysia dan meneliti aspek undang-undang mahupun syarat terkait sektor terbabit yang menjadi kekangan selama ini, kita terbuka untuk terima penambahbaikan.

“Pascapandemik ini kita perlu recalibrate industri melalui apa yang boleh ditawarkan pihak kerajaan, inisiatif yang boleh disertakan dengan pemasaran yang lebih meluas kepada industri,” katanya kepada pemberita selepas melawat Iskandar Malaysia Studios, di sini hari ini.

Katanya KKD sentiasa terbuka mendengar rintihan, luahan dan perkongsian pemain industri terkait perkara berbangkit mengenai kekangan dialami mereka.

“Jadi insya-Allah pada 16 Mac ini, saya akan adakan satu sesi town hall khas bersama pemain industri kita termasuk para pelakon, krew produksi dan pihak berkaitan untuk mendengar sendiri apa yang mereka perlukan,” katanya.

Menurutnya penambahbaikan dan pemerkasaan industri yang diusahakan ketika ini tidak boleh dilakukan sendirian kerana ia melibatkan pelbagai pihak lain yang berkepentingan.

“Kita perlu kerjasama dengan agensi bukan sahaja di bawah KKD seperti Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia), kita juga perlu (kerjasama) agensi dan kementerian lain termasuk MOF (Kementerian Kewangan).

“Pemerkasaan industri ini penting kerana kita nak perkasa industri tempatan, pada masa sama tarik masuk produksi luar ke Malaysia. Kemasukan mereka membawa impak positif, beri pendedahan dan pengalaman kepada produksi tempatan sekali gus memberi nilai tambah kepada mereka,” katanya.

BACA: Wan Ahmad Fayhsal Tidak Pertahan Jawatan Ketua ARMADA, Intai Antara Jawatan Tertinggi Bersatu

Sumber: Bernama

The post KKD Teliti Dasar Perfileman Negara Untuk Penambahbaikan – Fahmi appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*