KKDW Peruntuk RM1.7 Juta Bagi Pelaksanaan Program Pendigitalan Usahawan Desa

PUTRAJAYA, 14 Februari– Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah  (KKDW) memperuntukkan RM 1.7 juta ringgit untuk Program  Pendigitalan Usahawan dengan menyasarkan seribu usahawan mendigitalkan perniagaan mereka. 

Ketua Setiausaha KKDW, Dato’ Sri Ramlan bin Dato’ Harun berkata, inisiatif melalui platform Desamall ini adalah strategi di bawah Teras 2  Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) iaitu Keusahawanan Pemacu  Pembangunan Ekonomi menerusi pernyataan dasar Membangun Produk  dan Memperluaskan Pasaran Termasuk Perniagaan Dalam Talian (E Commerce). 

Modul latihan program Pendigitalan Usahawan Desa Desamall ini  merangkumi pendigitalan penyediaan kunci kira-kira, pengurusan stok di  gudang dan di kedai, pengurusan gerbang pembayaran, akses internet  yang optimum dan kemahiran-kemahiran lain berkaitan perniagaan. 

“Kita lihat pelbagai program keusahawanan diketengahkan bagi  membantu usahawan kecil menjalankan perniagaan dalam talian melalui  platform e-dagang, memahami kebolehpasaran produk dan khidmat  dalam strategi penjenamaan.” 

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Program Pendigitalan  Usahawan Desa Siri 1/2023 di Putrajaya hari ini. 

Turut hadir, Setiausaha Bahagian Pembangunan Ekonomi Komuniti  KKDW, Encik Mohd Sabri Ramly dan Pengarah Urusan Syarikat eLokal  dan Pentadbir Desamall, Encik Ahmad Shah Wahid.

Jelasnya lagi, program ini telah diperkenalkan pada tahun 2022 dan  sebanyak 3 siri program dilaksanakan di Putrajaya, Pulau Pinang dan  Sabah yang memanfaatkan seramai 706 usahawan di bawah program  pendigitalan usahawan ini. 

Sehingga 31 Disember 2022, jumlah jualan terkumpul melalui program  Desamall adalah sebanyak RM5.169 juta dan Stock Keeping Unit (SKU) sebanyak 28,255 di semua platform eDagang. Manakala, seramai 4,070  usahawan desa menyertai program Desamall dan memasarkan produk  secara dalam talian di platform e-Dagang. 

Tambah beliau, KKDW melalui program Desamall sentiasa progresif  memanfaatkan teknologi bagi memastikan inisiatif ini terus kekal relevan  serta lestari bagi memenuhi keperluan usahawan terutamanya di luar  bandar. 

Secara am, kuasa digital mencetus fenomena baharu keusahawanan.  Kemahiran berniaga dalam memasarkan produk dan perkhidmatan  secara talian melalui platform e-dagang seperti Lazada, Shopee, Youbeli  memberi ruang untuk usahawan meneroka lebih jauh. 

The post KKDW Peruntuk RM1.7 Juta Bagi Pelaksanaan Program Pendigitalan Usahawan Desa appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*