Klasifikasi tontonan P-12, 16 bakal diperkenal 1 Februari depan

PUTRAJAYA – Selepas lebih sedekad pemansuhan empat klasifikasi tontonan filem dan video di televisyen atau pawagam di negara ini, kerajaan bakal mewujudkan dua lagi klasifikasi baharu pada 1 Februari depan.

Perkara itu dimaklumkan menerusi Warta Kerajaan Persekutuan yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan bertarikh 3 Januari lalu.

Klasifikasi tontonan.

Berdasarkan warta tersebut yang disiarkan Jabatan Peguam Negara pada 9 Januari lalu, penambahan itu termasuk logo pengelasan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari depan dan dirujuk sebagai Peraturan-Peraturan Penapisan Filem (Pengelasan Filem) 2023 di bawah Akta Penapisan Filem 2002 atau Akta 620 dibaca bersama Seksyen 15.

“Lembaga boleh mengelaskan apa-apa filem yang telah pun diluluskan di bawah perenggan 10 (1)(a) atau (b) akta berkenaan sebagaimana dinyatakan dalam jadual itu,” katanya.

Dua klasifikasi baharu itu ialah P-12 untuk kalangan penonton berumur 12 tahun ke bawah memerlukan bimbingan ibu bapa dan 16 untuk tontonan mereka yang 16 tahun ke atas.

Sementara itu, dua lagi kategori yang sedia ada iaitu U dan 18 masih lagi dikekalkan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) sejajar perkembangan trend industri perfileman sejagat.

Agensi bertanggungjawab itu mula memperkenalkan lima jenis klasifikasi pada 1996 lalu termasuk U atau UMUM yang sesuai disaksikan semua peringkat usia dan baki empat lagi dikategorikan tidak keterlaluan bagi penonton berusia 18 tahun ke atas antaranya 18-SG (unsur seram dan ganas); 18-SX (elemen seks); 18-PA (unsur sensitif politik, agama dan kebudayaan) serta 18-PL.

Walau bagaimanapun, LPF pada 2010 memansuhkan semua empat kategori tersebut dan digabungkan kepada klasifikasi 18 sahaja sebagai rujukan bagi tontonan orang dewasa dan mengekalkan satu kategori baharu iaitu P-13 untuk penonton berusia 13 tahun ke bawah dengan bimbingan ibu bapa atau penjaga. – KOSMO! ONLINE

The post Klasifikasi tontonan P-12, 16 bakal diperkenal 1 Februari depan appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*