Komen TMJ selepas Malaysia muncul Juara

Kuala Lumpur: Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail boleh dikatakan antara individu paling gembira selepas melihat kejayaan Harimau Malaya menjulang trofi Pestabola Merdeka 2024, malam semalam.

Ini kerana berdasarkan gambar dikongsikan di laman Instagram miliknya, Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) meraikan kegembiraan itu bersama pemain menerusi panggilan video.

Gambar berkenaan memaparkan Tunku Mahkota Ismail bersama beberapa pemain JDT termasuk Mohamadou Sumareh, Junior Eldstal dan Bergson Da Silva membuat panggilan video dengan pemain Harimau Malaya.

Dalam satu lagi gambar,Tunku Mahkota Ismail bersama Sumareh dan Bergson kelihatan mesra berbual dengan bintang muda sensasi negara, Arif Aiman Hanapi.

Harimau Malaya menamatkan penantian 11 tahun untuk menjulang trofi Pestabola Merdeka selepas menundukkan Lubnan 1-0 dalam aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Kemenangan ke atas pasukan ranking 116 dunia itu menjadi detik manis buat pengendali skuad negara, Pau Marti Vicente apabila menjulang trofi pertama hanya selepas dua aksi mengendalikan Harimau Malaya.

Malah, kejayaan itu turut menyaksikan Harimau Malaya menebus kekecewaan tahun lalu selepas tewas 0-2 kepada Tajikistan di pentas akhir yang mana ketika itu Vicente bertindak sebagai penolong kepada Kim Pan-gon.

sumber: HM

Kali terakhir skuad negara muncul juara Pestabola Merdeka pada 2013 yang disertai skuad bawah 23 (B-23) tahun dengan Malaysia menewaskan Myanmar 2-0 di final.