KPDN Umum Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2023

ALOR SETAR, 12 Januari 2023 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi sambutan Tahun Baru Cina semalam.

Skim ini telah diumumkan oleh Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), YB Datuk Seri Salahuddin bin Ayub semalam.

Menerusi kenyataan dikeluarkan kementerian tersebut, tempoh pelaksanaan adalah selama 15 hari bermula tujuh hari sebelum, satu hari semasa sambutan dan tujuh hari selepas perayaan.

“Menjelang sambutan Tahun Baru Cina pada 22 Januari ini, SHMMP Tahun Baru Cina 2023 akan dilaksanakan berkuatkuasa dari 15 Januari hingga 29 Januari 2023,” katanya.

“SHMMP telah mula dilaksanakan di Negara kita sejak tahun 2000 sebagai sebahagian dari usaha prihatin kerajaan menstabilkan harga barangan keperluan sesuatu perayaan ketika permintaan dijangka meningkat untuk membolehkan rakyat Malaysia semua peringkat dan berbilang kaum, agama dan budaya merayakan Hari Perayaan tersebut dalam keadaan ceria dan harmoni,” tambah beliau lagi.

Sebanyak lapan jenis barangan akan diwartakan dalam pelaksanaan skim tersebut antaranya ikan bawal putih, udang putih, ubi kentang import (China), kobis import dan juga babi.

Sementara itu, harga ayam dan telur ayam terus dikawal selia di bawah pelaksanaan penentuan harga kedua-dua bahan berkenaan.

Jelasnya, penentuan harga ini dibuat dengan mengambil kira pandangan dari pemain industri, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) serta agensi di bawahnya dan data-data harga barangan yang dikutip oleh Bahagian Harga Barang Negara (BHBN), KPDN.

“Tempoh pelaksanaan SHMMP Tahun Baru Cina 2023 kali ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa, iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga. Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama,” tambahnya lagi.

Memetik kenyataan, skim tersebut akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan membolehkan penentuan harga dibuat di semua peringkat. Semakan harga melalui website Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di https://www.kpdn.gov.my

Bagi memastikan pelaksanaan skim lebih berkesan, KPDN akan menempatkan pegawai-pegawai bertugas di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan supaya tindakan segera dapat diambil sekiranya terdapat aduan pengguna berhubung ketidakpatuhan dalam kalangan peniaga.

“Pada masa yang sama, penguatkuasaan secara berhemah dilaksanakan dengan memberi pendidikan, nasihat dan amaran supaya para peniaga mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa dan mengamalkan peniagaan yang beretika,” tambah beliau.

“Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan mengunakan label merah jambu bagi barangan tersebut. Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.”

Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti berikut:

(i) Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum:
(a) Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000; dan
(b) Syarikat; boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000;
(ii) kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal:
(a) individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000; dan
(b) syarikat; boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

Jika didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan dengan skim ini, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada Kementerian melalui:

(i) Whatsapp ke 019- 279 4317 / 019-848 8000
(ii) Portal Aduan: e-aduan.kpdnhep.gov.my
(iii) Pusat Panggilan 1800 886 800
(iv) E-mel e-aduan@kpdn.gov.my
(v) Aplikasi telefon pintar Ez ADU
(vi) Pusat Arahan Penguat Kuasa (ECC) 03-8882 6245 / 6088

The post KPDN Umum Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2023 appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*