Krisis Sudan: Wisma Putra Usaha Sedaya Upaya Bawa Pulang Rakyat Malaysia – Zambry

bawa pulang rakyat malaysia

Krisis Sudan: Wisma Putra Usaha Sedaya Upaya Bawa Pulang Rakyat Malaysia – Zambry

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) — Kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Sudan dan membawa mereka pulang ke tanah air dengan selamat susulan konflik di negara itu.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata Wisma Putra juga telah berhubung dengan beberapa buah negara sahabat seperti Arab Saudi, Turkiye, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, China, Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi membantu proses membawa keluar rakyat Malaysia dari Sudan sebaik keadaan mengizinkan.

“Pada masa ini, katanya keadaan di negara itu masih lagi tegang akibat pertempuran di antara kedua-dua pihak bertelagah yang dilaporkan masih sengit khususnya di kawasan-kawasan strategik di Khartoum.

Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum masih belum dibuka kembali dan ini menyukarkan perancangan untuk membawa keluar rakyat-rakyat asing dari pelbagai negara termasuklah Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Konflik di Sudan, yang melibatkan dua pihak iaitu Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF), telah mencetuskan pergolakan politik serta menggugat keselamatan di negara itu.

BACA: Bawa Pulang Rakyat Malaysia Jika Keadaan Di Sudan Bertambah Tegang – Agong

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini dalam hantaran di laman Facebook Istana Negara menyarankan agar kerajaan bersedia untuk membawa pulang rakyat Malaysia di Sudan sekiranya konflik di negara itu bertambah tegang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menegaskan kerajaan memantau rapi konflik berlaku di Sudan dan akan membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di negara itu sekiranya situasi semasa memberi risiko kepada keselamatan mereka.

Mengulas lanjut, Zambry berkata kesemua 29 rakyat Malaysia mengikuti nasihat yang dikeluarkan Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum untuk terus berada di tempat masing-masing.

Beliau berkata Wisma Putra telah mengaktifkan “Operasi Sudan” yang bertugas 24 jam sejak krisis di Sudan berlaku dan pasukan khas yang disertai beberapa agensi itu telah membuat persiapan dan perancangan rapi bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di Sudan dipelihara.

“Pasukan Khas ini juga sedang berhubung rapat dengan Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum mengenai kaedah yang paling selamat untuk menambah bekalan keperluan asas khususnya makanan dan ubat-ubatan kepada kesemua mereka di Sudan,” katanya.

Sumber: BERNAMA

The post Krisis Sudan: Wisma Putra Usaha Sedaya Upaya Bawa Pulang Rakyat Malaysia – Zambry appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*