Kuota jemaah haji Malaysia kembali kepada asal

PUTRAJAYA – Malaysia berjaya mendapatkan semula kuota rasmi jemaah haji yang pernah ditetapkan oleh Arab Saudi pada awal 2020 lalu untuk musim haji kali ini.

Berita gembira tersebut disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menerusi hantaran dalam laman sosialnya.

“Saya sukacita ingin mengumumkan bahawa kuota haji Malaysia yang diterima daripada kerajaan Arab Saudi adalah sebanyak 31,600 orang untuk 1444/2023,” nukil beliau

Malaysia pada tahun lalu cuma menerima kuota sebanyak 14,306 orang iaitu 45 peratus sahaja daripada jumlah asal sejumlah 31,600 orang yang pernah ditetapkan pada 2020.

Ia susulan tindakan Arab Saudi terpaksa mengehadkan kuota semua negara luar kepada hanya 45 peratus daripada jumlah sebelum itu susulan kebimbangan penularan Covid-19.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, bagi pihak kerajaan Malaysia, beliau menzahirkan rasa amat bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi.

“Saya memohon kepada semua umat Islam agar dapat bersama-sama berdoa kepada Allah agar dipermudahkan urusan perjalanan bakal jemaah haji kali ini,” jelas beliau.- KOSMO! ONLINE

The post Kuota jemaah haji Malaysia kembali kepada asal appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*