Connect with us

Semasa

KWSP perlu bekukan sementara transaksi i-Sinar untuk kreditkan dividen 2020


Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu sementara membekukan transaksi yang melibatkan i-Sinar untuk membolehkan sistem KWSP mengredit dividen untuk tahun 2020 ke dalam akaun ahli selepas pengumuman dividen pada akhir bulan ini.

Ia juga memerlukan sedikit masa untuk memproses permohonan i-Sinar kerana perubahan dalam proses kelulusan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan telah berbincang dengan KWSP untuk mempermudah proses kelulusan, terutama bagi mereka yang telah membuat permohonan, atau yang permohonannya sedang diproses.


“Pengumuman dibuat pada 11 Februari mengenai pemansuhan syarat i-Sinar untuk memudahkan ahli membuat pengeluaran dari simpanan Akaun 1.

“Langkah ini diharapkan dapat membantu pencarum mengatasi cabaran semasa akibat pandemi Covid-19.

“Dalam hal ini, kerajaan telah berbincang dengan KWSP untuk mempermudah proses kelulusan. “Ini akan melibatkan perubahan pada sistem KWSP, yang akan mengambil sedikit masa.

“Masa juga diperlukan untuk membekukan transaksi buat sementara waktu untuk membolehkan sistem KWSP mengredit dividen untuk 2020 ke dalam akaun ahli selepas pengumuman dividen pada akhir bulan ini,” katanya dalam satu kenyataan sempena Laporan Pelaksanaan ke-41 mengenai Pelaksanaan Pelan Pembaharuan Ekonomi Nasional (Prihatin) Pelan Pemulihan Ekonomi Nasional (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin (Kita Prihatin), hari ini.

Minggu lalu, KWSP dengan persetujuan Menteri Kewangan mengumumkan pelantikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWSP berkuat kuasa 1 Mac 2021.

Pada 11 Februari, Tengku Zafrul juga mengumumkan bahawa KWSP sedang dalam proses menghapuskan syarat-syarat kemudahan i-Sinar berikutan nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar KWSP meningkatkan inisiatif setelah mengambil kira maklum balas orang ramai .

Katanya, penghapusan syarat untuk kemudahan i-Sinar akan membolehkan ahli KWSP yang berumur kurang dari 55 tahun membuat pengeluaran dari simpanan Akaun 1 mereka tertakluk kepada baki yang ada.

Dengan itu, bagi ahli yang memohon i-Sinar berdasarkan kriteria semasa, permohonan mereka akan diluluskan secara automatik tidak lama lagi.

Walau bagaimanapun, jumlah pengeluaran dari Akaun 1 serta jadual pembayaran maksimum selama enam bulan akan kekal, iaitu untuk ahli dengan simpanan RM100,000 ke bawah, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga RM10,000.

Sementara itu, ahli dengan lebih daripada RM100,000, mereka boleh mengeluarkan sehingga 10 peratus dari simpanan Akaun 1 dengan pengeluaran maksimum yang dibenarkan ialah RM60,000. -Harian Metro

Youtube Channel: Subscribe JenamaTV


Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Fanpage

Tags