Lantik Ahli Keluarga Yang Berkelayakan Tak Salah – Mufti Pulau Pinang

Lantik Ahli Keluarga Yang Berkelayakan Tak Salah – Mufti Pulau Pinang

Pelantikan Nurul Izzah  sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak salah.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, ianya bukan satu kesalahan bagi seorang pemimpin atau ketua kerajaan untuk melantik anggota keluarganya dalam sesuatu jawatan sekiranya mereka mempunyai kelayakan dan kepakaran.

Menurut Dr Wan Salim lagi, kepakaran yang dimiliki Nurul Izzah dilihat dapat membantu memudahkan urusan pentadbiran negara.

“Bagi saya tidak salah seorang pemimpin atau ketua kerajaan melantik anggota keluarganya sebagai pembantu atau penasihatnya dalam hal-hal kewangan, ekonomi dan sebagainya.

“Asalkan individu yang dilantik itu mempunyai kelayakan dan kepakaran yang dikehendaki di samping ada integriti diri, malah ini boleh memudahkan lagi urusan yang mahu dilaksanakan.

“Sebagai seorang agamawan, saya cenderung melihat isu ini daripada perspektif Islam. Dalam menilai sesuatu tindakan atau amalan, sebahagian kita terkeliru antara matlamat dan cara untuk mencapai matlamat.

“Banyak masa dihabiskan untuk berpolemik tentang cara untuk mencapai sesuatu matlamat, sedangkan matlamat itu sendiri dipinggirkan malah mungkin diabaikan sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.

Tambahnya lagi, sebagai rakyat Malaysia, kita sepatutnya berbangga dengan wujudnya individu yang sanggup berkhidmat untuk negara dan rakyat secara sukarela tanpa menuntut sebarang ganjaran.

“Kadang-kadang saya pelik apabila mendapati sebahagian masyarakat memprotes seseorang yang berkhidmat untuk negara secara percuma. Mereka sebaliknya boleh menerima seorang lain yang memperoleh habuan tanpa menyumbang sebarang perkhidmatan.

“Bagi saya, sikap sedemikian menunjukkan kepada kehilangan pertimbangan akal yang waras. Keadaan ini boleh disamakan dengan kisah umat Nabi Luth AS yang mengusir golongan beriman dari kampung halaman mereka dengan alasan golongan tersebut adalah orang-orang yang menyucikan diri daripada kejahatan,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, dalam hal berkaitan tadbir urus sesebuah negara, matlamat utama yang ingin dicapai adalah melalui perkhidmatan yang efisyen, telus dan amanah. Ciri ini sangat penting agar nasib rakyat terbela dan menjamin aspek kebebasan, keadilan dan kebajikan.

“Untuk mencapai matlamat ini individu yang dipertanggungjawabkan untuk mengendali urusan kerajaan terutama dalam hal-hal yang membabitkan kewangan mestilah memiliki integriti diri. Ini adalah supaya tidak berlaku ketirisan dan penyalahgunaan dana awam yang merugikan negara.

“Saya tidak mahu memuji Nurul Izzah secara berlebihan kerana sedar beliau hanyalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada kelemahan dan kekurangan. Saya juga tidak mahu menyamakan beliau dengan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang terkenal dengan sifat zuhud dan waraknya.

“Bagaimanapun, setakat yang saya tahu Nurul Izzah bukanlah seorang yang gila harta dan suka kepada kemewahan. Selain itu, beliau juga mempunyai kelayakan dalam bidang berkaitan dengan jawatan yang dipegang,” katanya.

Tindakan Anwar melantik Nurul Izzah tanpa sebarang bayaran gaji atau elaun adalah satu tindakan yang mulia dan terpuji.

“Jika dilihat daripada perspektif Islam, tindakan sedemikian adalah mengikut jejak langkah orang-orang soleh yang mendapat hidayah ALLAH SWT seperti yang terkandung dalam Al-Quran.

“Semoga ALLAH SWT merestui Anwar dan anaknya selain memperbanyakkan lagi peribadi yang unggul seperti ini di Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Nurul Izzah telah mengesahkan pelantikannya sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri dan telah memulakan khidmatnya berkuat kuasa sejak 3 Januari yang lalu.

Sumber: Sinar Harian

The post Lantik Ahli Keluarga Yang Berkelayakan Tak Salah – Mufti Pulau Pinang appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*