Lelaki diarah bela diri, dituduh serkup warga emas sampai mati

MELAKA – Seorang bekas pemandu bot pelancong Melaka River Cruise diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang warga emas, enam tahun lalu.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Mohd. Farid Shukor, 36, di akhir pendakwaan selepas kes prima facie berjaya dibuktikan.

Ia juga berdasarkan penelitian keseluruhan dan secara maksimum keterangan saksi dan hujah pihak pendakwaan serta pembelaan.

Beliau berkata, mahkamah antara lain mendapati terdapat perancangan untuk melakukan pecah rumah dan curi di mana tertuduh telah memasuki rumah mangsa melalui atap.

Ujarnya, keterangan saksi pendakwaan turut menyatakan bahawa mayat mangsa ditemui dalam keadaan terduduk dan mengalami kecederaan dengan muka diserkup kain serta terdapat banyak kain disumbat di dalam mulutnya.

Keterangan pakar patalogi menjelaskan punca kematian mangsa disebabkan kelemasan akibat sukar bernafas.

“Berdasarkan hujah pendakwaan, mahkamah berpendapat anggapan mengikut Seksyen 300(c) dan (d) adalah terpakai kepada tertuduh yang dengan niat menyebabkan kecederaan terhadap mangsa yang menyebabkan kematian, lazimnya.

“Tertuduh dengan ini diperintah membela diri atas pertuduhan membunuh,” katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh dan menyebabkan kematian ke atas seorang warga emas, Kesom Ma’amin, 79, antara pukul 1.15 pagi hingga 3 pagi di sebuah rumah di Taman Sri Bayu, Alor Gajah pada 25 Mac 2017.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati mandatori.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Yusof, manakala tertuduh diwakili Peguam Chua Yong Yi yang berhujah bagi pihak Peguam S. Paul Krishnaraja.

Mahkamah menetapkan perbicaraan kes pembelaan bermula esok.

Sepanjang perbicaraan kes bermula 2018, seramai 22 saksi pendakwaan dipanggil dalam prosiding kes berkenaan. – KOSMO! ONLINE

The post Lelaki diarah bela diri, dituduh serkup warga emas sampai mati appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*