Lelaki Diserang Buaya Ketika Mengambil Wuduk

diserang buaya ketika wuduk

Lelaki Diserang Buaya Ketika Mengambil Wuduk

Seorang lelaki berdepan detik ngeri apabila seekor buaya menggigit tangan kanannya di kawasan berpaya berhampiran Padang Papan di Manir dekat sini, petang Jumaat.

Che Man Zakaria, 61, yang bekerja sebagai nelayan darat berkata dalam kejadian 7.25 petang itu, dia sedang mengambil wuduk menggunakan air paya untuk menunaikan solat Maghrib.

“Ketika mencangkung mengambil wuduk, seekor buaya kira-kira dua meter tiba-tiba muncul entah dari mana dan menyambar tangan kanan saya.

“Saya jatuh ke dalam paya.

“Tak sedar kawan saya tanya kenapa saya terjun, saya kata saya tak terjun tapi tangan saya dicegat seekor buaya,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Kebor Besar, Manir.

Tambahnya, reptilia itu bagaimanapun menghilang ke dalam paya selepas menggigit tangannya.

Dengan tangan berlumuran darah, Che Man menunggang motosikalnya pulang ke rumahnya yang terletak kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian untuk mendapatkan bantuan ahli keluarga.

Dia menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini dan menerima 12 jahitan untuk luka itu.

Bapa kepada 10 anak itu berkata, sebelum ini dia pernah terserempak dengan seekor buaya di kawasan paya berkenaan.

Namun, kejadian petang Jumaat itu merupakan kali pertama reptilia itu menyerangnya.

“Saya percaya ada dua atau tiga lagi buaya di kawasan itu.

“Mungkin reptilia itu melarikan diri dari Sungai Nerus semasa banjir Disember tahun lalu,” katanya.

Sumber: Bernama 

The post Lelaki Diserang Buaya Ketika Mengambil Wuduk appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*