Lelaki Ditemui Hidup Dalam Runtuhan Selepas 12 Hari

12 hari hidup

Lelaki Ditemui Hidup Dalam Runtuhan Selepas 12 Hari

Pasukan penyelamat berjaya menemui seorang lelaki yang masih hidup selepas 12 hari terperangkap dalam runtuhan gempa bumi di Turkiye.

Menurut portal berita tempatan, Daily Sabah, Hakan Yasinoğlu, ditemui di bawah runtuhan di wilayah Hatay, kira-kira 278 jam selepas gempa melanda Isnin minggu lepas.

Mangsa kemudiannya segera dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Dua hari lepas, pasukan penyelamat turut menemui seorang remaja lelaki berusia 14 tahun, dua lelaki dewasa dan seorang ibu masih hidup di bawah runtuhan.

Remaja berkenaan, Osman diselamatkan kira-kira 260 jam selepas gempa 7.8 magnitud melanda negara itu, kata Menteri Kesihatan Fahrettin Koca di Twitter.

Beliau turut berkongsi beberapa imej yang memaparkan remaja tersebut yang dibawa keluar dengan menggunakan pengusung.

Tambahnya, Osman telah dibawa ke sebuah hospital di Antakya, yang terletak di dalam wilayah terjejas, Hatay.

Memetik laporan agensi berita Anadolu, para penyelamat dapat mengesan dan menyelamatkan Osman selepas terdengar suara daripada runtuhan bangunan.

Dalam bangunan yang sama, para penyelamat telah menemui 17 mayat sebelum menemui Osman, satu-satunya mangsa yang masih hidup pada saat dia ditemui.

Dua orang lelaki dewasa ditemui

Sejam selepas Osman ditemui, beberapa penyelamat daripada kawasan pencarian berlainan telah menemui dua orang lelaki dewasa di Antakya.

Menurut Koca, kedua-dua lelaki tersebut telah menerima rawatan segera dari pihak petugas kesihatan.

Memetik laporan agensi berita DHA, mangsa yang ditemui adalah Mehmet Ali Sakiroglu (26) dan Mustafa Avci (33). Kedua-duanya ditemui dalam runtuhan bangunan yang sama.

”Saya okay, tiada benda buruk pun yang berlaku,” ujar Avci semasa menghubungi keluarganya menerusi sebuah video yang dikongsikan oleh Koca.

Ibu kepada dua orang anak ditemui hidup

Di Kahramanmaras pula, seorang ibu kepada dua orang anak, Neslihan Kilic (29) berjaya diselamatkan daripada runtuhan bangunan selepas terperangkap selama 258 jam.

Wanita tersebut ditemui ketika operator forklift mengangkat katilnya dan mendapati tangan wanita tersebut bergerak, lapor agensi berita swasta DHA, Khamis lalu.

Gempa bumi tersebut telah meragut lebih 43,000 nyawa di Turkiye dan Syria. Manakala puluhan ribu mangsa didapati mengalami kecederaan.

Selain itu, bencana ini menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal dalam keadaan cuaca sejuk.

BACA: BNM Nasihatkan Orang Ramai Kaji Dengan Teliti Terma Dan Syarat Produk SLoan

Sumber: DailyMail

The post Lelaki Ditemui Hidup Dalam Runtuhan Selepas 12 Hari appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*