Lelaki Rohingya ditangkap raba anak jiran

MELAKA: Padah melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan yang juga merupakan anak jirannya, seorang lelaki warga Myanmar ditahan polis, hujung bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia 35 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan itu diberkas di hadapan rumahnya di Semabok di sini, 28 Disember 2022.

Beliau berkata, tangkapan dibuat selepas bapa mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian pada 27 Disember lalu.

CHRISTOPHER PATIT

“Suspek dipercayai telah meraba mangsa yang berusia 12 tahun ketika kanak-kanak itu sedang bermain bola bersama adik lelakinya di hadapan rumah mereka.

“Kejadian berlaku pukul 8.30 malam pada 26 Disember lalu, apabila mangsa mendakwa suspek tiba-tiba telah menarik tangan kirinya dan meraba di bahagian dadanya beberapa kali.

“Mangsa pada awalnya takut untuk memberitahu kejadian itu kepada bapanya dan hanya menceritakan perbuatan suspek pada pukul 8.30 pagi 27 Disember 2022,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Christopher, hasil soal siasat terhadap adik lelaki mangsa berumur 10 tahun mendapati, suspek juga pernah menyebut perkara berunsur seksual kepadanya.

“Pegawai penyiasat telah menyoal siasat mangsa dan adiknya, kanak-kanak lelaki itu mengatakan bahawa lelaki Rohingya terbabit juga telah memberitahunya sesuatu berbaur seksual.

“Setelah mendengar apa yang diceritakan oleh adiknya, mangsa juga memberitahu dia telah diraba oleh suspek, malah lelaki itu juga pernah menegur mereka berdua ketika dalam perjalanan ke rumah nenek di kawasan sama,” katanya.

Suspek kini direman sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. – UTUSAN

The post Lelaki Rohingya ditangkap raba anak jiran appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*