Lelaki tumbuk isteri sebelum mengamuk atas bumbung

Suasana di Kampung Bukit Tempayan di sini bertukar kecoh apabila seorang lelaki dipercayai kurang siuman bertindak memukul isterinya sebelum mengamuk di atas bumbung rumah sambil memegang sebilah parang dan pisau, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 pagi itu, lelaki berusia 37 tahun itu bagaimanapun berjaya dibawa turun selepas hampir dua jam dengan bantuan pihak polis dan pasukan bomba.

Insiden itu turut tular di media sosial menerusi beberapa keping gambar yang memaparkan pasukan bomba dipercayai sedang memujuk lelaki berkenaan untuk turun ke bawah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi.

“Polis menerima maklumat seorang lelaki telah menumbuk isterinya pada bahagian mata dan memarahi tiga anaknya berusia 10 hingga 13 tahun sebelum mengamuk di atas bumbung.

“Sepasukan anggota telah ke sana untuk pemeriksaan dan mendapati individu itu berada di atas bumbung rumah sambil memegang senjata parang dan pisau pemotong daging kecil,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, ketika pihak polis cuba memujuknya, lelaki itu bertindak mencampakkan pisau dan perabung atap ke bawah, namun tidak mengenai anggota.

“Kita kemudian meminta bantuan pasukan bomba untuk memanjat naik ke atas bumbung bagi memujuknya.

“Seramai 11 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu tiba dan salah seorang daripadanya berjaya naik namun berlaku pergelutan menyebabkan beberapa keping atap pecah,” katanya.

Christopher berkata, lelaki itu berjaya dibawa turun pada pukul 1.40 tengah hari dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan kerana mengalami kecederaan di bahagian kening serta badan akibat pergelutan.

Katanya, hasil semakan lanjut, lelaki tersebut merupakan pesakit mental yang sedang menjalani rawatan psikiatrik dan dikatakan enggan memakan ubat yang diberikan oleh pihak hospital. – KOSMO! ONLINE

BACA: Remaja perempuan dakwa dirogol dua lelaki di dalam kereta

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*