KUALA LUMPUR: Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou menepati ramalan apabila menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia di Sukan Paralimpik Paris 2024, sebentar tadi.
Kejayaan itu hadir selepas pemain berusia 36 tahun itu mengatasi wakil Indonesia, Suryo Nugroho pada aksi final kategori SU5 (kecacatan fizikal) di Porte de La Chapelle Arena.
Liek Hou membuktikan statusnya selaku juara dunia lapan kali apabila tidak berdepan masalah untuk menewaskan Suryo dengan keputusan 21-13, 21-15 dalam tempoh 41 minit.
Kemenangan menyaksikan Liek Hou yang dibimbing Nova Armada mempertahankan emas dimenanginya pada edisi Tokyo 2020, tiga tahun lalu.
Sebaik melangkah masuk ke dalam gelanggang, emas sebenarnya sudah boleh dianggap berada dalam genggaman Liek Hou selepas dia berjaya menewaskan Suryo di peringkat Kumpulan A sebelum ini.
Beraksi sebagai pilihan utama kejohanan, Liek Hou mendominasi sepenuhnya permainan di set pertama sehingga membuatkan lawannya berada dalam tekanan sehingga melakukan banyak kesilapan mudah sebelum menang 21-13.
sumber: BH
Meskipun Suryo cuba beri tentangan di set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan namun Liek Hou kekal fokus untuk menamatkan aksi dengan kemenangan 21-15.
Kejayaan memenangi emas kali ini menyaksikan Liek Hou bakal menerima ganjaran sebanyak RM1 juta di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).