Lima gerakan tawan hati orang muda

KLUANG: Pergerakan Pemuda UMNO perlu mempunyai ‘jiwa’ untuk memastikan rakyat, khususnya golongan seusia mampu membina masa depan  terutama sekali bagi yang baru belajar memulakan kehidupan kendiri semasa waktu sukar pada masa ini.

Justeru, calon Naib Pemuda UMNO Bahagian Simpang Renggam, Syed Mohd. Kazim Syed Nasir menggariskan lima gerakan yang mampu membantu golongan tersebut sejajar dengan asas perjuangan parti itu,  seterusnya menawan hati mereka supaya dapat bersama-sama parti keramat orang Melayu tersebut.

Menurutnya, salah satu gerakan utama ialah memperkasakan ekonomi orang muda dengan mendapatkan pekerjaan mengikut minat serta kepakaran masing-masing seiring dengan kemajuan negara.

Usaha itu amat penting kerana untuk memulakan kehidupan kendiri, setiap orang muda perlu mempunyai pekerjaan sebagai jaminan mereka melayari perjalanan hidup. 

“Mereka mempunyai kepelbagaian minat serta kepakaran yang boleh menjana hasil pendapatan, namun tanpa ada bantuan serta sokongan pihak tertentu secara tidak langsung membantutkan hasrat membina kehidupan. 

“Menerusi cara ini, Pemuda UMNO secara tidak langsung membantu rakan seusia mereka yang ketinggalan dari sudut ekonomi seterusnya terhindar daripada terjebak dalam gejala negatif,” katanya, di sini hari ini.

Menurut Syed Mohd. Kazim, empat lagi gerakan yang tidak kurang pentingnya ialah mengembalikan UMNO kepada yang asal seperti zaman kegemilangannya suatu ketika dahulu.

Katanya, ketika itu ramai anak muda dengan rela hati untuk bersama UMNO tanpa perlu gerakan besar-besaran mencari mereka berjuang bersama parti dan keadaan kini jauh berbeza pada masa sekarang. 

“Untuk cadangan yang ketiga, Pemuda UMNO perlu sentiasa memainkan peranan kepada masyarakat setempat kerana dengan keberadaan bersama mereka secara tidak langsung menampakkan kita tetap ada ketika mereka dalam susah. serta senang,” katanya. 

Dalam pada itu, Syed Mohd. Kazim berkata, cadangan gerakan yang turut perlu diadakan adalah membina golongan muda mesra digital serta pemuda era baharu dalam usaha menjalin muafakat dan kesatuan agar keyakinan terhadap pimpinan Pemuda UMNO dapat diterima secara keseluruhannya.  – UTUSAN

The post Lima gerakan tawan hati orang muda appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*