Lima tahun bersama Era FM, Danial Zaini sedih tinggalkan konti

KUALA LUMPUR: Pelawak dan penyanyi, Danial Zaini, 29, meraih banyak pengalaman manis sepanjang lima tahun menggalas tugas sebagai penyampai radio Era FM.

Justeru, tidak mudah baginya untuk meninggalkan konti radio tersebut selepas kontraknya tamat pada 31 Disember lalu.

Danial ketika dihubungi Utusan Malaysia akur, ramai yang terkejut apabila dia membuat pengumuman meninggalkan Era FM, semalam.

“Kalau ditanya tentang perasaan, tentulah saya sedih. Selepas menyertai program Lawak Solo, saya mula bekerja di Era FM sehingga diam tidak diam masuk lima tahun.

“Setiap yang bermula, mesti ada akhirnya. Ini masa terbaik untuk saya keluar mencuba benda baharu demi pembangunan kerjaya. Tamat kontrak tidak bermaksud saya tidak lagi berminat menggalas tugas sebagai penyampai.

“Sekiranya ada stesen radio lain yang ingin mendapatkan khidmat sebagai penyampai, saya mungkin akan pertimbangkan,” katanya.

Penyanyi lagu Siti Bilang Cuti dan Hati itu berkata, dia tidak mahu runsing memikirkan soal kerja ketika ini memandangkan sedang bercuti dan berbulan madu bersama isteri, Yasmine Umaira di Eropah.

“Kalau boleh tidak mahu bercakap soal kerja lagi buat masa ini memandangkan saya sedang berbulan madu. Saya memang sengaja ambil cuti seminggu awal sebelum kontrak berakhir.

“Saya tidak menolak jika menerima tawaran daripada mana-mana pihak, tetapi belum ada perbincangan mendalam lagi.

“Insya-Allah, kalau ada rezeki di tempat lain, memang saya mahu cuba. Ini masa untuk saya teroka sesuatu yang baru,”katanya.

Danial juga mengucapkan terima kasih kepada beberapa individu yang banyak memberi semangat dan menjadi guru sepanjang berkhidmat di Era FM seperti Nazri Noran, Dina Nadzir dan Nana Mahazan.

Katanya, mereka banyak membantu membentuk dirinya menjadi personaliti radio yang berpotensi.

“Dahulu, saya tidak pandai bercakap dan mengacara. Saya belajar semua itu di Era FM. Memang banyak perkara yang saya belajar daripada mereka.

“Kami sudah seperti keluarga. Tetapi, sampai satu tahap, kita kena lepaskan sesuatu untuk dapatkan sesuatu yang lain,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan 2023, kata Danial, dia menyusun strategi untuk meneroka bidang keusahawanan, selain fokus mendapatkan zuriat.

Danial mendirikan rumah tangga dengan Yasmine pada 2 Julai lalu.

The post Lima tahun bersama Era FM, Danial Zaini sedih tinggalkan konti appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*