Maki kawan lambat, operator kilang diserang dengan besi

KLANG – Gara-gara memaki hamun kerana lambat ke tempat kerja telah membuatkan seorang operator lelaki kilang nyaris dipukul sebatang besi selepas diserang sekumpulan lima lelaki dalam sebuah rumah di Bandar Bukit Tinggi, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi, dua daripada suspek berusia 23 dan 26 tahun yang merupakan rakan serumah mangsa tersebut bagaimanapun berjaya ditangkap polis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 29 tahun berada di biliknya sebelum lima suspek bertindak agresif dengan seorang daripadanya cuba memukul dengan sebatang besi.

Katanya, mangsa sempat menolak suspek keluar lalu mengunci pintu bilik sebelum menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan.

“Sepasukan polis dari Cawangan Kereta Peronda telah menyerbu lokasi kejadian dan menahan dua suspek tempatan. Tiga lagi suspek berjaya melarikan diri.

“Semasa tangkapan dibuat, polis turut merampas sebatang besi berukuran 68 sentimeter yang digunakan oleh suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, siasatan mendapati punca kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati terhadap mangsa yang mengeluarkan perkataan kurang sopan dan juga maki hamun kepadanya.

Ujarnya, ini berikutan kerana lambat untuk menghantar mangsa ke tempat kerja pada hari sebelum kejadian.

“Suspek adalah pemandu van kilang yang ditugaskan untuk mengambil dan menghantar pekerja kilang termasuk mangsa.

“Kedua-dua suspek yang ditangkap juga adalah rakan serumah dengan mangsa. Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau,” katanya.

Jelas Hoong Fong, kedua-dua suspek kini direman selama empat hari dengan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dengan polis kini masih mengesan suspek yang masih bebas,” katanya. -KOSMO! ONLINE

The post Maki kawan lambat, operator kilang diserang dengan besi appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*