Maktab Tentera Diraja Juarai Program Toyota Eco Youth, Bawa Pulang Ganjaran Tunai RM20,000

Shah Alam, 10 Februari 2023 – Pasukan daripada Maktab Tentera Diraja (MTD) telah menjuarai program Program Toyota Eco Youth (TEY) edisi ke 2022/2023 melabuhkan tirainya pada 8 Februari lalu di Concorde Hotel , di sini. Pasukan itu membangunkan Hexa Hold, satu sistem hexabrick yang diperbuat daripada bahan plastik HDPE dan LDPE yang bertujuan untuk mengurangkan hakisan tanah.

Program bertemakan ‘Memperjuangkan Mobiliti’ itu menyasarkan murid sekolah menengah sebagai salah satu usaha berterusan UMW Toyota Motor untuk menyemai kesedaran dan rasa tanggungjawab orang ramai terhadap isu iklim dunia. Program ini bagi menggalakkan anak muda untuk membangunkan inovasi yang mapan demi kehijauan alam.

Sebanyak 16 pasukan dari seluruh negara telah menyertai program tersebut dan merebut ganjaran bernilai sehingga RM71,500 dengan penyelesaian inovasi masing-masing. Antara pasukan terbaik adalah pasukan Synergy daripada Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) telah menghasilkan beg yang boleh dikembangkan daripada plastik dan fabrik kitar semula. Pasukan daripada SMK Kemumin, Kota Bharu pula telah menghasilkan tali pinggang daripada pakaian terpakai untuk mengurangkan sisa pakaian dalam komuniti.

Sementara itu, pasukan daripada SMK Taman Bunga Raya 1 pula menghasilkan sistem yang menghalang kebakaran hutan dengan mengesan perubahan suhu tinggi sebelum memberi amaran kepada pihak bomba manakala pasukan SBP Integrasi Rawang menghasilkan insinerator yang tidak mengeluarkan asap dan partikel berbahaya serta menukar bahan bakar menjadi baja.

Pasukan yang menang telah menerima wang tunai RM20,000 diikuti RM15,000 (kedua), RM10,000 (ketiga), RM7,000 (ke-empat) dan RM5,000 (kelima).

“Tahun ini adalah tahun ke-21 program TEY diadakan dan kami benar-benar teruja untuk berada di sini bersama anak muda Malaysia menjadi penjaga planet kita. Sebagai jenama yang komited terhadap sifar pelepasan CO2 menjelang 2050, kami bermatlamat untuk memberi inspirasi dan membantu membuka jalan kepada anak muda pintar untuk menjadi pembuat perubahan bagi masa depan yang lebih mapan,” ujar Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K.

“Saya ingin berterima kasih kepada semua 16 pasukan atas kerja keras dan kesungguhan ditunjukkan selama ini. Tahniah buat para pemenang TEY 2022/2023 yang telah menunjukkan kepada kita apa yang minda anak muda Malaysia hari ini mampu berikan dengan peluang yang tepat,” tambahnya.

Turut hadir dalam acara itu ialah Timbalan Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia, Dr Norisah Binti Suhaili.

“Saya ingin mengucapkan penghargaan kepada UMW Toyota Motor atas komitmen selama 21 tahun dalam membimbing dan membentuk anak muda Malaysia menjadi bertanggungjawab sebagai penjaga planet kita. UMW Toyota Motor sekian lama merintis jalan dan memberi kesedaran dalam menangani masalah iklim dalam usaha memelihara alam sekitar selaras dengan matlamat Malaysia untuk menjadi neutral karbon menjelang 2050. Ini adalah sesuatu yang perlu dicontohi rakyat Malaysia untuk bergerak ke hadapan,” ujarnya.

TEY merupakan program bagi memperkasa generasi akan datang dengan kemahiran berfikir secara kritis dan pengurusan projek  dengan memperkenalkan Toyota 8-Step Problem Solving Methodology. Pendekatan ini diambil oleh pekerja UMW Toyota motor bagi mengenalpasi dan menyiasat sesuatu isu secara metadologi. Pelajar juga diperkenalkan dengan Prinsip Panduan Toyota Motor Corporation untuk memupuk masyarakat harmoni yang sedar dengan alam sekitar.

The post Maktab Tentera Diraja Juarai Program Toyota Eco Youth, Bawa Pulang Ganjaran Tunai RM20,000 appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*