KUALA LUMPUR: Malaysia menamatkan badi kemenangan berdepan ‘Pak Arab’ untuk kembali menjulang trofi Pestabola Merdeka selepas 11 tahun apabila menewaskan Lubnan 1-0 dalam aksi final, sebentar tadi.
Kemenangan ke atas pasukan ranking 116 dunia di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu menjadi detik manis buat pengendali skuad negara, Pau Marti Vicente apabila menjulang trofi pertama hanya selepas dua aksi mengendalikan Harimau Malaya.
Malah, kejayaan itu turut menyaksikan Harimau Malaya menebus kekecewaan tahun lalu selepas tewas 0-2 kepada Tajikistan di pentas akhir yang mana ketika itu Vicente bertindak sebagai penolong kepada Kim Pan Gon.
Kali terakhir skuad negara muncul juara Pestabola Merdeka pada 2013 yang disertai skuad bawah 23 (B-23) tahun dengan Malaysia menewaskan Myanmar 2-0 di final.
Pada aksi sebentar tadi, Harimau Malaya yang melakukan enam perubahan dalam kesebelasan utama berbanding berdepan Filipina, Rabu lalu dilihat tampil dengan aksi lebih kemas dan menguasai permainan selain banyak melakukan asakan ke kubu lawan.
Pemain naturalisasi, Romel Morales mencetus suasana gamat di Stadium Nasional apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-33 selepas rembatan jarak dekatnya gagal diselamatkan penjaga gol Lubnan, Mehdi Khalil.
Kemasukan bintang muda sensasi, Arif Aiman Hanapi pada babak kedua berjaya menambah sengat dibahagian serangan dengan dia hampir menambah gol kedua Harimau Malaya pada minit ke-52 selepas memperdaya dua pertahanan Lubnan, namun rembatannya diselamatkan Khalil.
Malang menimpa Lubnan apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas tonggak pertahanan, Khalil Khamis dilayangkan kad merah pada minit ke-78.
Khamis dilayangkan kad merah susulan menerima kad kuning kedua selepas mengasari Arif Aiman dan situasi tegang turut tercetus antara pegawai kedua-dua di bangku simpanan sebelum berjaya dileraikan.
Meskipun beraksi dengan kelebihan seorang pemain, Harimau Malaya bagaimana tidak berjaya menambah jaringan, sekali gus gol tunggal Morales menjadi hadiah bermakna buat penyokong Harimau Malaya.
sumber: BH
Ia kemenangan kedua berturut-turut diraih skuad Vicente selepas menewaskan Filipina 2-1 dan keputusan positif itu bakal menambah jumlah mata Harimau Malaya dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).