Marah Ira boleh tapi jangan sampai menghina

SEJAK minggu lalu dan masih melarat hingga sekarang, isu rumah tangga pasangan Syamsul Yusof dan Puteri Sarah masih lagi menduduki carta teratas cerita hiburan.

Masih bersambung-sambung kisah balas-membalas suami isteri itu tentang konflik rumah tangga mereka dalam media sosial. Tak terkecuali kaum keluarga turut ikut serta menghangatkan suasana.

Baik Syamsul atau Puteri Sarah, nama isteri kedua pengarah itu, Ira Kazar diyakini menjadi bualan terhangat awal tahun ini.

Bernikah dengan suami orang, itu satu hal yang mudah membakar setiap hati wanita di luar sana khususnya yang sangat anti dengan golongan penyondol. Sudah matikah lelaki bujang di luar sana?

Kalau buka media sosial, di mana-mana ada Ira.

Bahkan sampai tahap, wujudnya lebih kurang 20 buah akaun palsu Instagram menggunakan nama dan gambarnya sejak berita pernikahan wanita itu dengan Syamsul diumumkan secara rasmi sejak minggu lalu.

Walau apa pun alasannya, setiap akaun dan kandungan membabitkan anak pelakon Kazar Saisi itu hampir kesemuanya dijadikan alat untuk netizen melampiaskan amarah tak kurang juga mengecam dan menghamburkan kutukan berbakul-bakul.

Faham kemarahan netizen meletus dek ‘rampasan’ yang dilakukan wanita itu dengan mengahwini suami orang, tetapi tidakkah keterlaluan jika orang luar seperti kita berlebih-lebihan dalam memberikan komen atau kata-kata.

Sikap masyakarat kita yang secara sukarela menjadi pahlawan tak diundang dengan menyertai ‘perang’ dalam konflik orang lain terutama golongan terkenal seperti artis memang hebat.

Cuma harus sedar, siapa kita untuk terlalu ‘prihatin’ sehingga masuk campur serba-serbi dalam hal rumah tangga orang yang 100 peratus tiada kaitan dengan kita.

Sekalipun kalau marah sangat, cukuplah perasaan itu tersimpan di dalam dada tanpa perlu dibawa keluar, paling teruk sehingga meninggalkan jejak dalam media sosial. Itulah nanti yang akan jadi catatan untuk diri kita.

Itu kehidupan orang lain yang sedang diuji, hidup kita nanti belum tentu lagi penghujungnya bagaimana.

Betapa pentingnya untuk kita menjaga kata-kata kerana bimbang esok lusa setiap perkataan yang lancang ditujukan kepada orang lain, berbalik kepada diri sendiri.

Bukan memihak kepada sesiapa, tetapi sekadar teguran buat yang terlalu ghairah mengeji tanpa memikirkan baik buruknya tindakan tersebut kepada diri sendiri. Bercakap siang pandang-pandang, bercakap malam dengar-dengar. -KOSMO! ONLINE

The post Marah Ira boleh tapi jangan sampai menghina appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*