Mayat Reput Ditemui Di Dalam Rumah, Disyaki Maut Lebih Dua Dekad

IRELAND – Mayat yang dianggarkan berusia lebih dua dekad dilapor telah ditemui terbaring oleh kakitangan majlis perbandaran di sebuah rumah di Ireland.

Memetik laporan Daily Mail, mayat itu ditemui di sebuah rumah terbiar di Beecher Street, County Cork di Ireland pada 13 Januari yang lalu.

Difahamkan, kakitangan majlis perbandaran menemui mayat tersebut sewaktu mereka ditugaskan untuk membersihkan rumah tersebut.

Selain itu, mereka turut menemukan mentega di dalam peti sejuk yang dipercayai dibiarkan sejak tahun 2001.

Dalam pada itu, pasukan polis Ireland (Gardai) telah mengepung tempat kejadian di sekitar kediaman satu tingkat itu manakala anggota bomba segera membawa mayat yang reput itu ke rumah mayat Hospital Universiti Cork.

Bagaimanapun, pihak polis tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah susulan penemuan mayat tersebut.

Malah, kebanyakan jiran yang tinggal di sekitar rumah mangsa yang juga disifatkan sebagai seorang lelaki pendiam itu hanya menggangap bahawa mangsa telah berpindah ke England.

Menurut wakil majlis perbandaran Mallow, Liam Madden, tapak rumah itu adalah salah satu daripada dua rumah terbiar di atas jalan yang menghubungkan bandar itu ke N20.

Malah, dia turut berkata bahawa ia merupakan perkara yang luar biasa apabila mayat itu berada di rumah tersebut tanpa ditemui oleh sesiapa selama dua dekad.

“Saya berasa sukar untuk membayangkan, namun ia pernah berlaku sebelum ini di mana seseorang telah ditemui di bandar dan kampung lain.

“Sangat menyedihkan kerana terdapat beberapa keluarga di luar sana yang mungkin mencari orang ini,” katanya.

Sementara itu, pasukan penyiasat berharap dapat mengesahkan identiti mangsa melalui rekod pergigian.

Pegawai yang bertugas juga akan menjalankan siasatan dan menyemak dengan syarikat utiliti bagi menentukan masa kematian mangsa.

Sumber: Daily Mail, Irish Mirror

The post Mayat Reput Ditemui Di Dalam Rumah, Disyaki Maut Lebih Dua Dekad appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*