Mengapa semua kena ikut dia? 

SUNGAI PETANI: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa sistem pengurusan yang diguna pasukan yang bertanding dalam Liga Super sebagai gagal dan hanya memberi kelebihan kepada kelab tertentu sahaja.

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) itu berkata, tindakan memaksa semua pasukan negeri mencontohi cara pengurusan yang dibuat satu pasukan, sepatutnya tidak dibuat sebelum ini.

“Saya kata sistem yang dilaksanakan sekarang ini gagal untuk membolehkan negeri membuat persiapan dan menguruskan pasukan dengan cara terbaik. Orang lain tak boleh buat, mengapa paksa pasukan ikut satu negeri sahaja. Bukan negeri pun, kelab sahaja.

“Mengapa semua kena ikut dia? Ini tak betul, semua orang mampus, dia hidup seorang. Dia boleh ke main bola, larat main seorang? Tak boleh, kena bersaing main dengan pasukan lain. Kalau orang lain tak boleh main, macam mana nak lawan? Saya kata sistem tak betul, berhentilah ikut satu pasukan itu, cukup-cukuplah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutupan Festival Insan Sejahtera 2024 di Masjid Tunku Sallehuddin, Bandar Puteri Jaya di sini, hari ini.

Mengulas mengenai masalah dihadapi Kedah Darul Aman (KDA) FC ketika ini, Menteri Besar itu berkata, beliau tidak lepas tangan, sebaliknya kerajaan negeri melalui KFA ada menyalurkan bantuan RM2 juta pada tahun ini bagi urusan pelesenan kelab.

Katanya, beliau tidak akan menggunakan dana kerajaan negeri bagi menguruskan KDA FC kerana pasukan itu sudah diswastakan dan ada syarikat yang mengurusakan pasukan ketika ini.

“Bukan saya tak mau ambil tahu, tapi ada urusan yang patut saya utamakan kerana pasukan sudah diswastakan. Dulu masa saya tanggung dan KFA yang kendalikan, kita usaha untuk dapat tajaan. Tahun ini walaupun swasta, kita bagi sumbangan melalui KFA bayar keperluan untuk dapat lesen sebanyak RM2 juta. Jadi jangan kata Menteri Besar buat tak tahu.

“Tapi untuk gaji untuk dan pengurusan pasukan, syarikat itu kena usahakan, dulu bila ada keperluan untuk dapat lesen KFA bantu banyak, tapi jangan suruh guna duit kerajaan. Saya tengok netizen kata macam-macam pada saya, mereka tak faham pasukan di bawah MFL sudah diswastakan, bukan pasukan wakili kerajaan negeri lagi,” katanya.

Muhammad Sanui berkata, KDA FC berkemungkinan perlu mengkaji balik sistem pengurusan yang digunakan pasukan mengikut kemampuan semasa terutama membabitkan pembayaran gaji pemain yang terlalu tinggi.

sumber: BH

“Kita tetap sokong melalui tajaan anak syarikat negeri, masih ada tapi tak mampu tampung semua perbelanjaan. Saya pernah kata kita pergi main tempat lain sebab gaji pemain terlalu mahal, bukan sebab kita tak mampu. Dahulu masa zaman Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) bayar gaji, kita boleh menang sampai Piala Malaysia, gaji baru RM6,000 ke RM7,000 masa itu.

“Mengapa sekarang gaji berpuluh ribu, tapi pasukan lingkup? Tentu ada salah sistem ini, kena kaji balik. Tengok balik kemampuan pasukan, saya rasa bukan KDA FC sahaja, negeri lain juga hadapi masalah kewangan juga. Saya malas sentuh negeri lain,” katanya.