Mentega Terbang: Serah Pada Finas, SKMM Ambil Tindakan – Fahmi

mentega terbang skmm

Mentega Terbang: Serah Pada Finas, SKMM Ambil Tindakan – Fahmi

SHAH ALAM, 5 Mac (Bernama) — Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menyerahkan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengambil tindakan terhadap produksi filem ‘Mentega Terbang’.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata Finas kini sedang meneliti dan menyiasat aspek perlanggaran peraturan yang dilakukan produksi tersebut.

“Ini melibatkan sama ada terdapat lesen untuk penggambaran dan pengeluaran (filem tersebut), dan saya serahkan pada Finas untuk membuat siasatan.

“Sekiranya ada tindakan yang perlu diambil, maka saya percaya pihak berkuasa akan ambil tindakan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pengagihan PerantiSiswa dan Perasmian MyDIGITAL.KKD di Universiti Teknologi Mara di sini hari ini.

Sebelum ini, tular sedutan babak dalam filem tersebut yang memaparkan watak utama bernama Aisyah tanpa berselindung meminta daging babi daripada rakan bukan Islam untuk dimakan, selain bapanya membenarkan Aisyah keluar daripada Islam dan memeluk agama lain.

BACA JUGA: Dapatan Kajian 100 Hari Kerajaan Perpaduan Mencurigakan – Fahmi

Sedutan babak itu tular di media sosial dan mengundang kemarahan netizen yang mempersoalkan bagaimana filem sebegitu dibenarkan untuk tontonan umum.

Dalam pada itu, Fahmi turut mempersoal tampuk pemerintahan terdahulu mengenai pelepasan filem berkenaan yang mula berlegar di media sosial sejak 2021.

“Filem ini mula berlegar dan ditayangkan pada 2021. Siapa yang mentadbir ketika itu? Kenapa tiada apa-apa tindakan pada waktu itu? Mana pasukan mereka yang buat laporan sekarang ini? Waktu itu mereka di mana? Kenapa tak teliti (filem itu),” soalnya.

Beliau turut mengingatkan semua penerbit dan produksi filem supaya mengikut garis panduan pembuatan filem yang telah ditetapkan Finas dan Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menghantar laporan kepada SKMM berikutan filem itu jelas bertentangan dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam tempatan.

Sumber: BERNAMA

The post Mentega Terbang: Serah Pada Finas, SKMM Ambil Tindakan – Fahmi appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*