Menu Rahmah: Speaker Buat Keputusan Esok Mengenai Kenyataan Ahli Parlimen Kapar

kenyataan ahli parlimen kapar

Menu Rahmah: Speaker Buat Keputusan Esok Mengenai Kenyataan Ahli Parlimen Kapar

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) — Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul akan membuat keputusan mengenai kenyataan dikeluarkan Ahli Parlimen Kapar Dr Halimah Ali, yang didakwa mengelirukan Dewan Rakyat berkaitan Menu Rahmah, esok.

Perkara itu dibangkitkan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mengikut Peraturan Mesyuarat 36 (12), susulan kenyataan yang dibuat Halimah pada 14 Feb lepas ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.

Peraturan Mesyuarat 36 (12) menyatakan mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan, disifatkan menghina Majlis dan ahli itu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi kesalahan itu.

Baca: Terkenal Sebagai Kampung Jungkook & Jimin BTS, Rupanya Ini Yang Buat Ramai Tak Senang Duduk Bila Sebut Busan

Dr Yii berkata beliau telah mengutuskan surat berserta hansard sebagai bukti, kepada pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk merujuk Halimah ke jawatankuasa berkenaan.

“Beliau (Dr Halimah) telah mengeluarkan kenyataan bahawa Menu Rahmah boleh mengakibatkan beberapa penyakit terutamanya kanser, autoimmune (diseases) dan autisme.

“Kenyataan tersebut tidak benar, tidak bertanggungjawab kerana bukan sahaja tidak berdasarkan fakta dan sains tetapi lebih lagi ia mungkin mengakibatkan salah faham atau stigma kepada komuniti autisme dan juga masyarakat OKU (orang kurang upaya),” katanya.

Johari berkata beliau akan meneliti hansard terlebih dahulu, sebelum membuat keputusan berhubung perkara tersebut.

Dalam pada itu, Johari memaklumkan beliau akan membuat perkara sama berhubung isu dibangkitkan RSN Rayer (PH-Jelutong), mengenai kenyataan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkaitan Titah Diraja yang disifatkan menghina Majlis.

Rayer membangkitkan isu tersebut mengikut Peraturan Mesyuarat 36 (4), yang menyatakan adalah menjadi kesalahan bagi Ahli Dewan yang menggunakan bahasa kurang sopan (biadab) atau membuat pernyataan yang seksis.

“Dalam perbahasan, beliau telah menghina Majlis yang dalam fikiran saya menghina Yang di-Pertuan Agong, apabila menyatakan bahawa Titah Tuanku itu adalah sesuatu yang disediakan oleh kerajaan. Bagi saya ketika kita membahas itu adalah Titah Tuanku dan kita sepatutnya menjunjung kasih,” katanya.

Terdahulu, pada sesi perbahasan di sebelah pagi, sidang Dewan Rakyat kecoh apabila Tuan Ibrahim dan RSN Rayer bertikam lidah, susulan kenyataan Timbalan Presiden PAS itu bahawa teks Titah Diraja disediakan Kabinet.

Sumber: BERNAMA

The post Menu Rahmah: Speaker Buat Keputusan Esok Mengenai Kenyataan Ahli Parlimen Kapar appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*