Menyamar pegawai KKM sebelum ugut salun kecantikan RM200,000

SERDANG – Menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan memeras ugut premis kecantikan dengan jumlah mencecah RM200,000 sebagai langkah elak diberi denda.

Aktiviti yang dijalankan tiga sekawan yang memeras ugut lebih 20 salun kecantikan tidak bertahan lama apabila diserbu sepasukan anggota polis di sebuah premis salun kecantikan di kawasan Bandar Puteri, Puchong, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan berkata, aktiviti tiga sekawan ini diekori pihaknya selepas laporan pertama diterima dua minggu lalu.

Katanya, tiga suspek lelaki tempatan serta dalang utama yang berusia antara 38 hingga 48 tahun berjaya ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari, ketika sedang memeras ugut sebuah premis salun kecantikan.

“Dalang utamanya mempunyai pengetahuan meluas di dalam tindakan undang-undang yang ditetapkan KKM dan membuatkan mangsa mudah terpedaya dengan tipu helah diucapkan suspek.

“Mereka mensasarkan premis kecantikan yang tidak mempunyai lesen daripada KKM bagi menjalankan perkhidmatan menggunakan peralatan perubatan dan penjualan ubat-ubatan berjadual untuk rawatan estetik.

“Pemilik yang gagal mempamerkan lesen akan diperas ugut untuk dikenakan tindakan saman sehingga RM200,000 menyebabkan pemilik premis membuat bayaran pada suspek,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis (IPD) daerah Serdang, di sini, hari ini.

Menurut Anbalagan, barangan dirampas merupakan beberapa helai baju korporat, jaket, topi dan kad tertera logo dan jawatan di dalam KKM serta wang sebanyak RM42,000.

“Jabatan di dalam KKM yang tertera di baju mereka merupakan jabatan yang membanteras kegiatan premis salun tanpa lesen membuatkan mangsa lebih takut.

“Dalam pada itu suspek bertindak demikian kerana mempunyai masalah kewangan dan juga sedang menyelesaikan hutang pinjaman ah long,” katanya.

Kesemua suspek ditahan reman sehingga hari ini dan akan dibuat permohonan sambung reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 385 dan 170 Kanun keseksaan

Justeru itu, Anbalagan menyeru kesemua pemilik premis yang pernah menerima ugutan daripada suspek diminta membuat laporan polis bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE.

The post Menyamar pegawai KKM sebelum ugut salun kecantikan RM200,000 appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*