Miliki Kekayaan Lebih RM3 Bilion, Shah Rukh Khan Di Tangga Keempat Dalam Senarai Pelakon Terkaya Dunia

Miliki Kekayaan Lebih RM3 Bilion, Shah Rukh Khan Di Tangga Keempat Dalam Senarai Pelakon Terkaya Dunia

Bintang Bollywood popular, Shah Rukh Khan dilapor telah menduduki tempat keempat dalam senarai 10 pelakon terkaya di dunia dengan memiliki nilai bersih sebanyak $770 juta (RM3.3 bilion).

Memetik laporan First Post, statistik terbaru itu dikeluarkan oleh World Of Statistics menerusi halaman Twitter.

Difahamkan, pelakon kelahiran Amerika Syarikat, Jerry Seinfeild telah menduduki tempat pertama dengan memiliki nilai bersih sebanyak $1 bilion (RM4.3 bilion).

Senarai itu kemudiannya diikuti dengan Tyler Perry yang juga memiliki nilai sebanyak $1 bilion dan Dwayne Johnson yang memiliki nilai sebanyak $800 juta (RM 3.4 bilion).

Ia diikuti dengan tempat kelima daripada bintang terkenal filem Top Gun, Tom Cruise yang memiliki nilai bersih sebanyak $620 juta (RM2.6 bilion).

Selain Shah Rukh Khan, pelakon terkenal kelahiran negara China iaitu Jackie Chan juga menjadi pelakon keenam yang paling kaya di dunia dengan nilai sebanyak $520 juta.

Ia kemudiannya diikuti dengan George Clooney yang memiliki aset sebanyak $500 juta dan Robert De Niro dengan nilai aset yang sama.

Dalam pada itu, Shah Rukh Khan pernah mendedahkan perkara yang paling mahal dibeli olehnya adalah sebuah kediaman yang dikenali sebagai Mannat di Bandra, Mumbai yang berharga Rs 200 crore (RM106,181,728).

Gambar: SUJIT JAISWAL/AFP

Perkara itu dijelaskan oleh pelakon berkenaan semasa melakukan wawancara bersama Radio Mirchi pada tahun 2019.

“Saya dari Delhi dan warga Delhi mempunyai konsep tinggal di kothi (banglo). Di Mumbai, konsepnya adalah untuk tinggal di pangsapuri.

“Namun, ia berbeza di Delhi. Walaupun seseorang itu dilihat bukan berasal dari golongan berada, mereka tetap akan memiliki banglo kecil.

“Apabila saya datang ke Mumbai, saya sudah berkahwin dan tinggal di sebuah pangsapuri kecil bersama isteri saya, Gauri. Ibu mertua saya berkata bahawa saya tinggal di rumah yang begitu kecil.

“Akhirnya apabila saya melihat Mannat, saya memutuskan untuk membeli banglo tersebut dan itu merupakan perkara paling mahal yang saya beli,” jelasnya dalam temu bual tersebut.

Bukan itu sahaja, pelakon berkenaan juga dipercayai mempunyai sebuah rumah ladang di Alibaug yang digelar sebagai Ladang Deja Vu.

Gambar: IG Shah Rukh Khan

Selain memiliki hartanah di negara kelahiran, beliau juga telah membeli hartanah di luar negara iaitu sebuah ladang di Palm Jumeirah, Dubai yang digelar sebagai Villa K-93, malah harga ladang tersebut dilaporkan melebihi Rs 17 crore (RM9,027,726).

Seterusnya, beliau turut memiliki sebuah lagi rumah di Park Lane, London yang berharga sekitar Rs 165 crore (RM87,605,328).

Untuk pengetahuan, pelakon tersebut juga merupakan pemilik kereta mewah, malah beliau memiliki pelbagai kereta termasuk Audi A6, BMW i8, BMW 7 series, BMW 6 series (convertible), Mitsubishi Pajero SFX, Toyota Land Cruiser Prado, Rolls Royce Phantom Drophead Coupe, Bentley Continental GT, Harley Davidson Dyna Street Bob dan lain-lain.

Selain memiliki syarikat produksi, Red Chillies yang ditubuhkan bersama isteri tercinta, pelakon terkenal itu juga merupakan pemilik bersama bagi pasukan Liga Perdana India (IPL) dan pasukan kriket Kolkota Knight Riders dengan memiliki 55 peratus sebagai pihak berkepentingan.

Sementara itu, Shah Rukh Khan juga dilaporkan sedang aktif mempromosikan filem terbarunya, Pathaan secara meluas di India.

Filem yang dijangka bakal ditayangkan pada 25 Januari itu merupakan arahan daripada Siddharth Anand, malah ia turut menampilkan barisan pelakon hebat yang lain seperti John Abraham dan Deepika Padukone sebagai watak utama.

Sumber: First Post, NDTV

The post Miliki Kekayaan Lebih RM3 Bilion, Shah Rukh Khan Di Tangga Keempat Dalam Senarai Pelakon Terkaya Dunia appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*