Mudarat besar menanti UMNO jika demokrasi dimatikan

PUTRAJAYA: Kestabilan tidak boleh dijadikan alasan untuk mana-mana pihak menyokong agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail berkata, jika dua jawatan ini tidak dipertandingkan, UMNO akan ditimpa mudarat lebih besar yang mana bukan sahaja ahli parti hilang kepercayaan, tetapi rakyat juga berpaling muka dari UMNO.

Menurut beliau, alasan kestabilan tidak boleh lagi diguna pakai untuk menyekat demokrasi memandangkan alasan sama digunakan sebelum PRU15 demi kemenangan parti, namun sebaliknya berlaku apabila parti kalah teruk.

“Sekarang nak sekat demokrasi dengan alasan kestabilan lagi? Hanya yang gila kuasa dan kemaruk jawatan serta kepentingan sahaja tak tahu malu guna alasan konon suci macam ini. Jutaan lagi ahli UMNO tahu sangat agenda masing-masing.

“Mana kita lagi sanggup tengok? UMNO kekal dihormati ahlinya sendiri walaupun segelintir akan menyalak kerana hilang kuasa, atau UMNO dikuburkan rakyat buat selama-lamanya?” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook beliau.

Beliau berkata, semakin dekat Perhimpunan Agung UMNO khas, semakin banyak pendapat menyokong dan menyanggah supaya jawatan Presiden dan Timbalan dipertandingkan.

Katanya, yang mahu pemilihan diadakan ada sebab tersendiri, yang enggan pula ada kepentingan serta sebab tertentu.

“Yang tidak mahu pemilihan punyai pelbagai alasan. Wala’ kepada pemimpin lah, setia kepada Presiden lah. Paling mual, nak pastikan kestabilan untuk hadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Alasan sama sebelum PRU15. Konon untuk pastikan parti kuat dan menang. Menang apanya? Kalah teruk lagi ada. Paling teruk dalam sejarah. 26 kerusi sahaja berbanding 54 kerusi PRU14.

“Paling tidak, sebelum PRU15 UMNO kuasai kerajaan. UMNO Perdana Menteri. Pergi desak PRU15 diadakan atas alasan kestabilan, sudahnya lagi porak peranda,” katanya. – UTUSAN

The post Mudarat besar menanti UMNO jika demokrasi dimatikan appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*